SHAH ALAM: Gerakan Deklarasi Rakyat yang diterajui oleh bekas Perdana
Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bukan bertujuan menyelamatkan Malaysia
tetapi mahu selamatkan Umno, demikian pendapat Setiausaha Badan
Perhubungan PAS Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi.
Katanya, gerakan itu adalah usaha beberapa ahli Umno untuk
menyelamatkan parti berkenaan apabila melihat ia sedang menuju
kehancuran di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Razak.
Oleh itu, tambahnya, PAS Kelantan yakin ahlinya dan rakyat negeri itu
tidak akan terpengaruh dengan usaha pihak tertentu untuk meraih sokongan
bagi menyelamatkan Malaysia menerusi Deklarasi Rakyat.
Menurutnya, rakyat dan penyokong PAS di Kelantan Sangat cerdik serta matang dalam menilai percaturan politik semasa.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai 'seruan' ADUN Salor
Datuk Husam Musa dalam Program Santai Bersama Pemimpin yang dihadiri
mantan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yasin dan mantan
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir di Tanah Merah
baru-baru ini.
"Ahli-ahli PAS peringkat akar umbi di negeri Kelantan sudah cukup faham
bahawa Deklarasi Rakyat adalah usaha beberapa pemimpin Umno Untuk
menyelamatkan parti itu apabila melihat parti itu sedang menuju
kehancuran di bawah pimpinan Datuk Seri Mohd Najib Razak.
"Mereka telah dengar sendiri kenyataan pimpinan penggerak Deklarasi
Rakyat ini terutama Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengepalai gerakan
tersebut, bahawa Deklarasi Rakyat adalah bertujuan Untuk menyelamatkan
Umno atas dasar sayangnya mereka kepada Umno.
"Sesiapa saja rasa nak menyelamatkan Umno, pergilah," katanya yang dipetik sebuah blog ketika mengulas kenyataan Husam itu.
Dilaporkan Husam dalam ucapannya baru-baru ini mahu semua rakyat
dilibatkan dalam usaha gerakan yang dikepalai Mahathir dan pembangkang
itu untuk Selamatkan Malaysia sehingga ia menjadi kenyataan.
Kata Che Abdullah, semua ahli PAS sedar gerakan menerusi Deklarasi
Rakyat untuk menukar perdana menteri dengan mengekalkan Umno-BN sebagai
pemerintah tidak sesekali akan menyelamatkan Malaysia.
Beliau juga menyifatkan gerakan yang mensasarkan satu juta tanda tangan
rakyat untuk Deklarasi Rakyat sebagai tindakan Husam menongkat Umno.
"Dia kata PAS bagi tongkat kepada Umno, kini kerja dia tongkat Umno, bersama dengan Tun Mahathir Mohamad untuk selamatkan Umno.
"Mana-mana pihak yang berusaha untuk menyelamatkan Umno dan seterusnya
berusaha menjatuhkan Kerajaan Islam Kelantan akan ditentang
habis-habisan oleh semua ahli dan pendokong PAS. Tak kira siapa sahaja
kita akan tentang,” katanya.
PAS, katanya akan meneruskan kerja-kerja penerangan bagi mempertahankan kerajaan Islam Kelantan supaya tidak jatuh kepada Umno.
"Kita juga mahu rakyat boleh lihat bahawa PAS ini adalah merupakan
satu-satu jemaah di Malaysia yang boleh ganti Umno menerusi pilihan raya
yang akan datang," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.