Jumaat, 25 Mac 2016

MH17: Malaysia, empat negara JIT fail tuduhan selepas siasatan jenayah selesai

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
SEPANG: Malaysia dan empat negara lain yang menganggotai Pasukan Penyiasat Bersama (JIT) akan memfailkan pertuduhan selepas selesainya siasatan jenayah mengenai perbuatan menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH17.
 
"Apabila ada laporan itu (selepas selesai siasatan), kami akan failkan pertuduhan bagi mendapatkan maklumat sebenar tentang kejadian itu dan memberi keadilan kepada mangsa (nahas itu)," kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.
 
Bercakap pada sidang media semalam, beliau berkata JIT - yang dianggotai pakar dari Australia, Belgium, Malaysia, Belanda dan Ukraine - sedang mencari jalan lain untuk mendakwa mereka yang bertanggungjawab dalam kejadian itu, termasuk menggunakan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
 
Pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH17 dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai 2014 menyebabkan kesemua 298 orang penumpang dan anak kapal terkorban.
 
Pada Julai tahun lepas, Malaysia, yang disokong anggota JIT lain, mendesak supaya sebuah tribunal antarabangsa ditubuhkan bagi membicarakan mereka yang bertanggungjawab dalam kejadian itu, tetapi Rusia menggunakan kuasa vetonya di Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) untuk menyekat pembentukan tribunal itu.
 
Liow berkata pakar dari JIT berada di Kuala Lumpur pada Selasa untuk mencari cara bagi meneruskan kes MH17.
 
"Peguam Negara kami dan (rakan sejawatannya dari) negara lain sedang berganding bahu untuk mencari cara terbaik membawa kes ini ke mahkamah," katanya.
 
Mengenai Penerbangan MH370 pula, Liow berkata Malaysia akan menghantar satu pasukan ke Afrika Selatan dengan secepat mungkin bagi mencari lebih banyak serpihan pesawat yang hilang itu.
 
Katanya pasukan pencari itu akan berlepas sebaik sahaja pihak berkuasa Afrika Selatan memberi kelulusannya.
 
Liow berkata usaha mencari akan bertumpu di sepanjang garis pinggir laut setelah serpihan pertama dijumpai di La Reunion Island di Lautan Hindi.
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.