Jumaah Diraja Johor berharap kecelaruan akibat laporan TV3, berkaitan kenyataan Tunku Mahkota Johor yang menurutnya telah diputar belit, tidak berlarutan.
Yang dipertuanya Datuk Abd Rahim Ramli berkata Tunku Mahkota tidak pernah meletakkan pendirian untuk memihak atau menghentam mana-mana pihak.
Tunku Ismail Sultan Ibrahim juga menafikan menujukan kritikan terhadap Tun Mahathir Mohamad dalam krisis perlembagaan 1992 yang menyaksikan penghakisan kuasa istana.
Berikut kenyataan penuh Abd Rahim:
Saya menarik perhatian kepada berita TV3 pada 23 Mac 2016 dan memaklumkan semoga kecelaruan ini tidak berlarutan sebagaimana yang disampaikan oleh DYAM Brigadier Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor semalam yang telah diputarbelitkan.
Apa yang sebenarnya yang dimaksudkan oleh baginda yang utama sekali adalah berkenaan tidak mahu sejarah hitam 1992 berulang kembali.
DYAM Tunku Mahkota Johor juga tidak pernah meletakkan pendiriannya untuk memihak kepada mana mana pihak atau menghentam mana-mana pihak.
Kenyataan tersebut adalah untuk mengingatkan pemimpin yang memegang jawatan supaya sentiasa berkhidmat dengan jujur dan telus untuk rakyat.
Tumpuan seharusnya untuk negara ini terus maju ke hadapan. Baginda mahukan agar Bangsa Johor sentiasa bersatu demi mengekalkan perpaduan antara semua kaum.
Terdapat isu tanah air yang lebih besar perlu ditangani segera dan bukannya menjadikan kenyataan dari DYAM Tunku Mahkota Johor sebagai pengalih perhatian daripada isu tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.