Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, isu tersebut sudah tentu akan memberi kesan kepada Barisan Nasional (BN) dalam PRN Sarawak.
Katanya, Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem akan berada dalam keadaan tersepit sekiranya beliau menyokong pengambilan warga asing secara besar-besaran tanpa menyelesaikan masalah kerja dan kehidupan yang menyelubungi rakyat negeri itu.
"Warganegara yang tertindas di negeri sendiri, terutamanya Sarawak, sudah pasti akan terasa dengan polisi kerajaan membawa sebegitu banyak warga asing ke negara ini.
"Bayangkan perasaan warganegara sendiri apabila melihat warga asing mendapat kerja manakala mereka menganggur; warga asing berniaga merata manakala mereka terus hidup bergaji rendah.
"Malah ada yang tiba-tiba menjadi bumiputera kerana mengahwini orang Bumiputera tempatan dan mendapat hak yang sama, malah ada yang lebih baik daripada warganegara sendiri," katanya.
Pertengahan tahun lalu, kerajaan mengumumkan rancangan membawa masuk 1.5 juta tenaga kerja dari Bangladesh bagi memenuhi permintaan industri di negara ini.
Perkara itu mendapat bantahan daripada pelbagai pihak termasuk kesatuan sekerja.
Jumaat lalu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan penangguhan pengambilan pekerja asing dari semua negara sumber sehingga kerajaan berpuas hati terhadap keperluan sebenar tenaga kerja pihak industri.
Seperti pandangan beberapa pihak sebelum ini, PAS turut mendakwa, kerajaan tetap akan meneruskan pengambilan 1.5 juta pekerja Bangladesh itu tetapi selepas PRN Sarawak berakhir.
"Hari ini, kerajaan boleh menyalahkan kononnya majikan yang flip-flop dalam pengambilan warga asing," katanya merujuk alasan yang diberikan Timbalan Menteri dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed.
"Tetapi, betulkah begitu? Kerana, pelan perniagaan dan sumber manusia tidak akan secepat para menteri Barisan Nasional berubah keputusan.
"Rakyat tunggulah dan lihatlah apakah alasan kerajaan ketika itu pula untuk membolehkan pengambilan warga asing semula.
"Besar kemungkinan rakyat terpaksa tunggu sehingga PRN Sarawak selesai dahulu," kata Tuan Ibrahim.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.