SHAH ALAM: Kedua-dua pemimpin kanan PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah
dan Datuk Takiyuddin Hassan enggan melayan gesaan ADUN Salor, Datuk
Husam Musa yang menggesa mereka meletakkan jawatan berikutan kegagalan
membentangkan usul hudud di parlimen sehingga kini.
Mohd Amar yang juga Naib Presiden PAS berkata, langkah membawa usul tersebut di parlimen bukanlah isu sebaliknya tanggungjawab.
"Kita akan bawa usul ke parlimen, gagal (atau) tidak gagal selepas itu, bukan tanggungjawab.
"Saya juga boleh tanya dia (Husam) balik, dia juga pernah gagal
membabitkan beberapa perkara, kenapa tidak letak jawatan?," katanya yang
dipetik dari Sinar Harian.
Husam ketika menjadi panel sebuah forum malam kelmarin meminta Timbalan
Menteri Besar Kelantan itu dan Takiyuddin untuk bertanggungjawab di
atas kegagalan parti itu membawa usul pindaan akta berkenaan.
Bekas Naib Presiden PAS itu juga berkata, kedua-duanya perlu meletak
jawatan sekiranya gagal memberikan penjelasan di atas kegagalan
tersebut.
Mohd Amar merupakan Pengerusi Teknikal Jawatankuasa Kanun Jenayah
Syariah II Kelantan, manakala Takiyuddin pula merupakan Ketua
Sekretariat Tetap Hudud Negeri.
Sementara itu Takiyuddin sebagai mengulas perkara itu berkata, beliau
tidak bertanggungjawab menjelaskan perkara yang diamanahkan kepadanya
itu kepada Husam.
"Pihak kami tiada tanggungjawab memberi penjelasan kepada Husam. Bagi
saya, tanggungjawab saya melakukan kerja yang diamanahkan. Saya tidak
bertanggungjawab kepada dia," katanya dipetik akhbar tersebut.
Malah katanya, Husam juga tidak tahu banyak perkara dalam pentadbiran
kerajaan negeri Kelantan dan banyak perkara tidak perlu diberitahu
kepadanya.
Semalam, seorang lagi Naib Presiden PAS, Dr Idris Ahmad turut
menempelak Husam dan menyifatkan kenyataan pemimpin itu sebagai tiada
asas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.