Oleh Ashraff Nazrin
Yuran itu dikenakan secara penuh dengan hanya
mengecualikan yuran kolej kediaman sahaja ke atas pelajar semester akhir
yang sedang menjalani Latihan Industri.
Selepas isu biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) ingin dibekukan, kemudian beberapa pelajar terpaksa berhenti kerana tidak mampu menyelesaikan yuran akibat daripada status tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang tergantung, kali ini Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) pula menyusul dengan tindakan mengenakan yuran servis yang langsung tidak digunakan.
Yuran ini dikenakan secara penuh dengan hanya mengecualikan yuran kolej kediaman sahaja ke atas pelajar semester akhir yang sedang menjalani latihan industri.
Pelajar semester akhir Fakulti Komputer dan Informatik Labuan (FKI) yang sedang menjalani latihan industri ini dikenakan yuran servis seperti yuran komputer, khidmat kesihatan, sukan dan sebagainya. Ironinya, pelajar ini langsung tidak berada di kampus untuk menggunakan servis-servis ini.
Apabila sedang berada di tempat Latihan industri mereka menggunakan komputer sendiri, apabila sakit, mereka ke klinik dengan wang poket sendiri, apabila bersukan langsung tidak menggunakan fasiliti universiti kerana berada jauh dari kampus.
Ada yang menjalani latihan industri di semenanjung, dan mustahil pihak Pentadbiran tidak nampak perkara seperti ini dan masih merasakan mereka masih ada peluang menggunakan fasiliti universiti.
Alasan-alasan seperti perkara ini termasuk dalam perjanjian yuran, adalah tidak boleh diterima sama sekali. Pihak pentadbiran terutamanya pengarah kampus perlu membawa usul ini dalam mesyuarat tergempar senat kerana alasan sebegini adalah tidak munasabah. Pelajar ini membayar perkara yang mereka tidak gunakan.
Di UMSKAL, satu projek dewan kuliah dan perpustakaan yang dilancarkan pada tahun 2010 yang lalu sehingga kini masih tidak siap-siap sedangkan projek tersebut dikatakan salah satu daripada Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).
Ada dua kemungkinan isu pokok yang boleh kita rumuskan, sama ada kerajaan pusat sudah kehabisan duit, atau tatakelola kewangan universiti berada di tahap yang kronik.
Saya lebih berat mengatakan bahawa tatakelola kewangan universiti di tahap yang teruk kerana projek di bawah RMK-10 sudah semestinya mendapat peruntukan kerajaan pusat. Tetapi sehingga sekarang masih belum siap.
Duit makin hilang, servis makin teruk, yang dimangsakan adalah poket mahasiswa. Pelajar terpaksa bayar apa yang tidak digunakan, pelajar dipaksa untuk membayar yuran awal untuk mendaftar subjek walaupun tidak mempunyai wang. Ini semua akibat daripada masalah kewangan yang gagal difungsikan dengan baik oleh pentadbiran Universiti.
Pentadbiran UMSKAL perlu jawab adakah mereka mempunyai masalah kewangan dari kerajaan pusat sehingga timbul perkara-perkara yang tidak masuk akal sebegini dan mansuhkan yuran tidak servis yang tidak digunakan ini selamanya!
Ashraff Nazrin adalah Aktivis Pro Mahasiswa UMSKAL.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.