Memang LGE boleh dianggap bersikap autokratik, dan
sifat ini yang sekian lama wujud dalam UMNO-BN sepatutnya tidak diwarisi
oleh pemimpin PH yang menjanjikan Malaysia baru yang lebih baik.
Oleh Yunus Tasim
Banyak komen yang negatif bila Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng memecat dua ADUN PKR dari jawatan yang mereka sandang dalam syarikat GLC kerajaan Pulau Pinang. Memang patutlah Umno dan penyokongnya menggunakan isu ini untuk menghentam bukan sahaja LGE dan DAP, tetapi keseluruhan koalisi Pakatan Harapan. Ini yang dikata sebab nila setitik, rosak susu sebelanga.
Begitu juga dengan orang pensendirian, penganalisis politik dan tidak ketinggalan rakan dalam PH juga turut sama menyampaikan kritikan yang pedas terhadap LGE, DAP dan PH. Semua menyatakan LGE serupa ibu ketam mengajar anak berjalan lurus.
PH terutamanya LGE dan DAP sering mengkritik kebobrokan polisi kerajaan yang merugikan rakyat dan menghentam Najib atas sikap kuku besinya terhadap semua pengkritik. Tetapi kini LGE, sebagai ketua menteri telah menunjukkan warna sebenar dengan memecat dua ADUN PH dari PKR kerana mereka dan ADUN dari PKR yang lain bersikap berkecuali ketika pengundian menolak usul UMNO agar kerajaan negeri menghentikan semua projek penambakan di Pulau Pinang.
Tapi sebelum kita menolak terus PH sebagai koalisi pembangkang dan alternatif kepada UMNO-BN, kita harus melihat sudut positif yang dimainkan oleh gabungan pembangkang itu? Ini adalah sebahagian politik baru yang kita, rakyat Malaysia idam-idamkan. Memang LGE boleh dianggap bersikap autokratik, dan sifat ini yang sekian lama wujud dalam UMNO-BN sepatutnya tidak diwarisi oleh pemimpin PH yang menjanjikan Malaysia baru yang lebih baik – yang mestilah didahului dengan pemimpin yang pintar, matang dan boleh meraikan perbezaan yang membangun.
Tidak seperti gabungan BN yang selalunya ‘yes-man” dan ‘rubber-stamp’ kepada polisi perdana menteri dan kerajaan. Kalau pun mereka tidak bersetuju tetapi mereka terpaksa mengangkat tangan jadi pak angguk kerana takut tindakan diambil terhadap mereka oleh perdana menteri atau presiden parti.
Peranan ini lah yang harus terus dimainkan oleh ADUN dan MP tanpa mengira parti mana yang mengusulkan. ADUN dan MP mesti berjiwa rakyat dan bekerja untuk rakyat untuk masa depan Malaysia yang lebih baik. Bukan untuk menjahanamkan Malaysia dan meninggalkan nisan dan keranda untuk generasi Malaysia akan datang.
Kita harap ini satu permulaan kepada politik baru di Malaysia. Rakyat mesti terus mendesak supaya ADUN dan MP yang mewakili mereka bekerja untuk rakyat bukan menjadi kaki angguk kepada Yang Berkuasa, tak kiralah Ketua Bahagian, Menteri, Ketua Menteri dan Perdana Menteri.
2017 atau 2018 adalah tidak lama. Rakyat mesti diajar dan dibentuk supaya mempunyai jatidiri yang kukuh untuk memilih ADUN dan MP yang bukan kerbau kepada ‘Political Master’ mereka. Sebaliknya, mereka hendaklah dari kalangan yang boleh mempertahankan rakyat seperti yang ditunjukkan oleh lima ADUN PKR di Pulau Pinang itu.
Jika LGE baca tulisan ini dan mahu PH menjadi alternatif yang berwibawa menggantikan kerajaan UMNO-BN di Putrajaya, mahu tidak mahu, LGE dan DAP harus berubah serta merta. Apatah lagi DAP dimomokkan sebagai parti yang angkuh dan akan meranapkan harapan rakyat Melayu jika berkuasa. DAP mesti berubah. DAP mesti berubah serta merta, sekurang-kurangnya daripada pendekatan dan imejnya.
Kepada ADUN dan MP PH yang lain, teruskan berperanan dengan efektif. Apa yang berlaku sekarang adalah sebahagian daripada usaha anda. Kalau tidak, pasti kerajaan UMNO-BN terus menyembunyikan kebobrokan dan kerakusan mereka dan akan terus menerus menipu rakyat jelata yang memang mudah digula-gulakan.
PH mestilah memulakan gagasan politik baru. Mulakan daripada dalam PH sendiri. Perkara yang paling mudah ialah dengan menjadikan jawatan Ketua Menteri dan Menteri Besar kerajaan PH untuk dua penggal sahaja. LGE mesti bersedia ‘pass baton’ kepada Ketua Menteri baru selepas PRU akan datang.
Keberanian ini harus di war-warkan dari sekarang. Kita yakin rakyat akan bersama kalian membina Malaysia baru yang lebih baik!
* Yunus Tasim merupakan pembaca FMT
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.