Khamis, 28 Januari 2016

Tiga laluan Bas Smart Selangor luar bandar tahun ini

OLEH : AFIX REDZUAN


SHAH ALAM: Tiga laluan bas Smart Selangor bakal diperkenalkan tahun ini khusus untuk kawasan luar bandar.

Exco Pelaburan, Perindustrian IKS serta Perdagangan dan Pengangkutan, Datuk Teng Chang Khim, berkata usaha itu diteruskan selepas kejayaan pelaksanaan program sama di enam kawasan bandar sebelum ini.

basMPAJ 1

Dalam satu temubual esklusif bersama SelangorKini, beliau menjangkakan usaha ini dapat dilakukan sebelum Julai 2016 dengan tiga laluan baru yang merentasi sempadan perbandaran.

Laluan pertama melibatkan perjalanan dari Selayang ke Rawang dan Kuala Kubu Bharu dengan merentasi Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS).

Kedua dari Kuala Selangor ke Sekinchan hingga Sungai Besar dengan merentasi Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) dan Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB).

Sementara laluan ketiga melibatkan Banting ke Morib, Tanjung Sepat dan Sungai Pelek.

“Jika kita berjaya melancarkannya sebelum Julai bererti kita sudah berjaya membekalkan bas percuma ke seluruh majlis perbandaran di daerah Selangor,” katanya.

Sejak dua tahun lalu, Kerajaan Selangor sudah memperuntukkan RM3.5 juta untuk penyediaan Bas Smart Selangor yang dahulunya dikenali sebagai Bas Selangorku.

Untuk tahun ini sahaja, Bas Smart Selangor sudah diperkenalkan di Ampang Jaya dan Kajang.EZY


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.