Jumaat, 1 Januari 2016

SELAMAT TAHUN BARU TAPI SOALAN PALING POPOLAR, BILA NAK DAPAT PM BARU?

shahbudindotcom




Hari ini kita sudah berada di hari pertama tahun 2016. Berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya di mana kita selalunya banyak ditanya mengenai azam dan harapan baharu, tahun baru kali ini pertanyaan paling popular ialah bilakah Najib Razak mahu meletakkan jawatan?

Kenapa beliau liat sangat mahu berundur? Apa yang difikirkannya lagi sedangkan sangat jelas sokongan rakyat makin merudum terhadapnya?

Apa yang menakutkannya untuk meletakkan jawatan?

Apakah beliau tidak memikir keadaan UMNO dan negara yang semakin caca marba akibat kepimpinan dan dasarnya yang entah apa-apa?

Hakikatnya banyak sekali pertanyaan seperti itu kedengaran. Bermakna dalam setiap nafas dan detik berfikir rakyat, keinginan mereka  mahukan Najib berundur dengan segera dan hadirnya seorang Perdana Menteri baru lebih membuak-buak berbanding azam dan harapan untuk diri masing-masing.

Bagi majoriti rakyat, kepercayaan mereka ialah kepimpinan Najib tidak boleh diperbaiki  dan caranya mentadbir juga tidak mampu diubah atau dinasihati lagi. Satu-satunya cara yang diharapkan dapat memberi kebaikan kepada negara ialah dengan cara menggantikannya dengan pemimpin lain.

Rakyat ternyata sudah begitu "tension" dan tertekan dengan kepimpinan Najib yang semakin memburuk hari demi. Selain isu harga barang dan pelbagai kenaikan dalam perkhidmatan pengangkutan serta perjalanan yang membuatkan kehidupan rakyat kian sengsara, perkara lain yang hampir memusnahkan keyakinan mereka ialah berkaitan kemelut 1MDB dan derma RM2,600 juta yang masuk ke akaun bank peribadinya.

Kedatangan tahun baru 2016, sudahlah hampir saban tahun Najib menyambutnya di luar negara dan rakyat terus dibebankan dengan pelbagai kenaikan kos hidup, turut dimulai dengan berita paling sedih untuk kita semua yang tidak pernah berlaku dalam mana-mana kepimpinan terdahulu.




Semata-mata kerana ingin melangsaikan hutang 1MDB, 60 peratus daripada kepentingan dalam Bandar Malaysia yang luasnya hampir 500 ekar kini sudah sah menjadi milik sebuah syarikat negara China yang mengadakan kerjasama dengan Kerajaan Johor.

Konsortimum China Railway Engineering Corporation (M) Sdn Bhd dengan Iskandar Waterfront Holding Sdn Bhd itu dipersetujui membeli kepentingan 60 peratus Bandar Malaysia dengan harga RM7.41 bilion.

Tanah Bandar Malaysia asalnya ialah kem TUDM Sungai Besi yang kini dipindahkan ke Sendayan, Negeri Sembilan dan telah diberikan oleh kerajaan kepada 1MDB dengan harga paling rendah dan di bawah nilai pasaran.

Sebelum itu, sayap tenaga 1MDB iaitu Edra Energy juga turut dijual kepada sebuah syarikat negara China iaitu China General Nuclear Power Corp pada harga RM9.83 bilion serta menanggung semua hutangnya.

Penjualan demi penjualan aset dan tanah kepada syarikat negara asing untuk melangsaikan hutangnya menjadikan 1MDB seolah-olah hanya "ejen penjualan"  harta dan kekayaan negara kepada pihak asing semata-mata.

Di manakah kononnya 1MDB merupakan sebuah syarikat pelaburan strategik jika akhirnya satu demi satu harta dan tanah yang diperolehi dengan harga murah dijual kepada pihak asing dengan begitu mudah?

Bukankah jika Najib tidak menubuhkan 1MDB dahulu, semunya aset dan tanah itu masih kekal milik kita sehingga sekarang?

Begitu juga dengan tanah Bandar Malaysia, jika dijual kepada GLC seperti Sime Darby misalnya untuk dibangunkan dan tidak diberikan dengan 1MDB dengan harga murah,  tidakkah ia juga masih kekal menjadi milik kita serta mampu menjana pendapatan lumayan untuk negara?

Malangnya, tanah dan aset dijual dan tergadai semata-mata untuk membayar hutang dan harta 1MDB semakin berkurangan jadinya. Akhirnya, tiada apa yang tinggal lagi. Ibaratnya, kalau sekadar sekadar gah menjual harta dan aset mak bapak, anak tidak sekolah pun pandai melakukannya.

Yang berbaki kini hanyalah tanah TRX yang sedang diracik-racikkan melalui pecahan lot, juga diberi oleh kerajaan kepada 1MDB dengan harga murah dan mungkin turut akan dijual kepada banyak entiti asing untuk menutup sebahagian lagi hutang syarikat itu.

Selain itu, wang RM2,600 juta yang masuk ke akaun peribadi Najib juga amat sukar diterima sebagai derma. Ia bukan saja menyebabkan buat pertama kalinya negara kita disenaraikan di kedudukan ketiga negara yang mempunyai "skandal rasuah paling buruk"  bagi tahun 2015, bahkan kerana ingin mempertahankan wang tersebut, Najib telah melakukan beberapa tindakan pemecatan dan penyingkiran untuk mempertahankan dirinya.

Maknanya, Najib sendiri tidak yakin dengan sejujur hatinya bahawa wang tersebut merupakan derma semata-mata sehingga terpaksa menggunakan segala kuasa yang ada untuk melindungi dirinya dan mengenepikan sesiapa saja yang cuba bertanya mengenainya.



Kenapa perlu pecat dan buang orang jika benar-benar percaya bersihnya wang itu?

Kesimpulannya, kedatangan tahun 2016 tidak lebih hanya menambahkan lagi tekanan dan "tension" rakyat akibat kepimpinan Najib kerana selain masalah dan keburukan sedia ada, tahun baru ini juga dimulai dengan semakin hilangnya tanah dan kekayaan negara kepada pihak asing.

Tiada pilihan untuk membendung semua ini daripada berterusan selain menurunkan Najib dengan segera. Sama ada beliau dapat diturunkan dalam waktu yang terdekat ini atau nasibnya akan ditentukan dalam PRU 14 nanti, biarlah masa yang menentukannya.

Blog ini ingin mengucapkan selamat tahun baru kepada semua dan bertekad mahu meneruskan sumbangan istiqamahnya dalam memastikan Najib dapat diundurkan demi kesejahteraan dan kelegaan kepada rakyat. Selagi Najib ada, selagi itulah rakyat terus "tension" dan tertekan. 

Dapat mengundurkan Najib umpama rakyat telah menemui "syurga"  mereka.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.