Sabtu, 2 Januari 2016

Sasar 5 juta pelancong ke Kedah 2016


Oleh Ahmad Saufi Mansor


Alor Setar: Kerajan negeri melancarkan program Discover Kedah atau Jelajahi Kedah 2016, malam ini dengan sasaran lima juta kehadiran pelancong ke negeri ini pada tahun ini.

Pelancaran berkenaan sejajar dengan misi negeri untuk memperkenalkan Kedah sebagai destinasi pelancongan menarik sehingga ke peringkat dunia.

Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, seramai 3.3 juta pengunjung termasuk 1.2 juta pelancong dari luar negara melawat negeri ini pada 2014 lalu dan berharap berlaku peningkatan positif pada tahun ini menerusi perancangan dilaksanakan.

Menurutnya, terdapat banyak tempat menarik di negeri ini seperti Kompleks Tamadun Kedah Tua, Sungai Batu di Sungai Petani serta Gunung Jerai dengan pemandangan indah, selain Langkawi serta gugusan pulau-pulaunya dan empat pulau di persisiran pantai daerah Yan.

Katanya, Dataran Warisan Alor Setar mempunyai mercu tanda ikonik seperti Masjid Zahir, Muzium Padi berhampiran Gunung Keriang dan kawasan pendalaman Kedah seperti Sungai Sedim Canopy Walk; Air Panas Ulu Legong di Baling, Taman Rimba Ulu Muda serta Pantai Merdeka.

"Pastinya pengalaman melancong di Kedah adalah unik kerana terdapat banyak tempat makan yang sedap pada harga berpatutan seperti Gulai Ikan Temenung Kuala Kedah, Gulai Itik di Yan, Laksa Telok Kechai, Laksa Ikan Sekoq, Mi Abu dan Roti Bakar Teloq Meleleh.

"Manakala, usahawan muda Kedah juga menyediakan pelbagai produk makanan dan barangan jenama tempatan antaranya Hydrofit, Ayaq Sungai Petani, Lubok, Lastick Clothing serta Dadihlicious.

"Saya yakin dengan sokongan maka anak-anak muda ini akan menjadi usahawan berjaya (dalam perniagaan) secara online (dalam talian) dan juga di pasaran terbuka, sekali gus turut memperkenalkan Kedah," katanya ketika berucap merasmikan pelancaran Discover Kedah 2016 di Dataran Menara Alor Setar, di sini, malam ini.

Menurutnya, pelbagai program disusun sepanjang tahun ini untuk merangsang pertumbuhan sektor pelancongan di negeri ini.

Katanya, pihaknya turut menganjurkan Karnival Sungai Antarabangsa Diraja Kedah, acara eco-tourism, acara makanan dan diakhiri dengan acara muzik, kraf serta kebudayaan dalam menghangatkan kempen Discover Kedah 2016.



Mukhriz melancarkan program Jelajahi Kedah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.