THE RAKYAT POST
Bank-bank perlu
mengetatkan peraturan pengeluaran kad kredit dan pinjaman peribadi untuk
membantu mengurangkan peningkatan jumlah golongan muda yang muflis di
Malaysia.
KUALA LUMPUR, Bank-bank perlu mengetatkan peraturan
pengeluaran kad kredit dan pinjaman peribadi untuk membantu mengurangkan
peningkatan jumlah golongan muda yang muflis di Malaysia.
Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan
Pekerja-Pekerja Bank (NUBE), J. Solomon berkata peraturan yang longgar
ketika ini dan kaedah kelulusan pinjaman peribadi ‘mudah dalam masa
sejam’ menggoda pekerja muda untuk berhutang.
Menurut Jabatan Insolvensi Malaysia,
kira-kira 25,000 orang berusia di bawah 35 tahun diisytiharkan muflis
dalam tempoh lima tahun dari 2010, dengan majoritinya adalah disebabkan
oleh kad kredit dan hutang pinjaman peribadi.
Solomon berkata pada 2014 nisbah
pembayaran hutang isi rumah di Malaysia ialah sebanyak 43.5 peratus yang
bermakna hampir separuh daripada pendapatan bulanan isi rumah digunakan
untuk membayar hutang.
“Jika trend ini berterusan generasi masa depan negara akan terjejas teruk dan begitu juga ekonomi,” katanya kepada Bernama.
Individu yang muflis akan berdepan banyak
sekatan seperti tidak dapat membuka akaun bank, menjalankan perniagaan
atau keluar negara tanpa kebenaran terlebih dahulu daripada Jabatan
Insolvensi dan juga tidak boleh memegang sebarang jawatan pengarah dalam
sesebuah syarikat atau memegang jawatan politik.
Solomon mendedahkan kira-kira 7,000 ahli
NUBE, atau kira-kira 17.12 peratus, menjalani kehidupan sukar disebabkan
oleh hutang kad kredit.
“Ramai golongan muda yang mengambil jalan
mudah mendapatkan kad kredit baharu untuk menyelesaikan hutang
terkumpul daripada kad kredit lama.
“Teknik gali dan kambus ini dipromosikan
oleh sesetengah bank yang mengeluarkan kad kredit tanpa pemeriksaan yang
sewajarnya,” katanya sambil menggesa kerajaan untuk membantu mendidik
golongan muda dalam pengurusan wang.
Beliau juga menggesa ahli NUBE tidak
memilih pengurangan caruman KWSP dengan menyatakan ia akan menjejaskan
dana persaraan mereka.
Dalam pengubahsuaian bajet 2016 baru-baru
ini, kerajaan mengumumkan pekerja akan diberikan pilihan untuk
mengurangkan bahagian caruman mereka daripada 11 peratus kepada lapan
peratus bagi tempoh 21 bulan bermula Mac tahun ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.