Peguam veteran Datuk Param Cumaraswamy berpendapat bahawa Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan sebuah agensi penyiasat, seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk menutup failnya.
Bekas Pelapor Khas Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu bagi kebebasan hakim dan peguam itu berkata Apandi perlu lebih telus memandangkan persepsi negatif orang ramai berhubung siasatan dana yang disalurkan ke akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
"Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Peguam Negara mempunyai kuasa yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya, untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan, selain prosiding di mahkamah Syariah, mahkamah anak negeri atau mahkamah tentera .
"Beliau sudah tentu tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan agensi lain, seperti SPRM, untuk menutup fail mengenai siasatannya. Jika bukti didapati tidak mencukupi untuk pendakwaan, adalah wajar untuk Peguam Negara menasihati SPRM supaya mengumpulkan bukti selanjutnya.
"Sebagai seorang bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Apandi sepatutnya lebih tahu!," kata Param yang juga adalah bekas presiden Majlis Peguam dan pemenang Hadiah Gruber untuk keadilan.
Pendapatnya juga dikongsi oleh seorang lagi peguam, Hanif Khatri Abdulla, yang berkata Apandi sebagai peguam negara tidak mempunyai urusan untuk campur tangan dengan siasatan mana-mana agensi penyiasat.
"Peguam Negara hanya boleh membuat keputusan sama ada untuk mengenakan dakwaan atau tidak ke atas Najib berdasarkan kertas siasatan yang dikemukakan kepadanya. Peguam Negara tidak mempunyai urusan untuk mengarahkan SPRM menutup siasatan," kata Hanif.
Param dan Hanif diminta mengulas keputusan Apandi dalam mengarahkan SPRM untuk menutup kes terhadap Najib, selepas memutuskan untuk tidak mendakwa perdana menteri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.