BERNAMA
Zainal Abbas mengakui kesilapan itu pasti mengecewakan Badrul Hisham. - Foto arkib Bernama
KUALA LUMPUR, “Bukan silap Badrul (Hisham Abdul Manap), jika terbukti rekod kebangsaan 100m di Sukan Sekolah Asean di Brunei tidak sah, sebaliknya ia kesilapan penganjur.”
Ketua jurulatih olahraga kebangsaan,
Zainal Abbas mengakui kesilapan itu pasti mengecewakan Badrul Hisham,
namun beliau percaya prestasi atlet itu tidak akan terjejas dengan
kesilapan yang tidak disengajakan itu.
“Ini sememangnya bukan salah
Badrul…sebagai pelari, beliau telah menunjukkan prestasi yang sangat
bagus. Jika rekodnya itu tidak sah, beliau boleh cipta rekod baru pada
kejohanan lain.
“Bagi saya, Badrul telah mempamerkan satu
prestasi cemerlang dan membuktikan keupayaannya dalam larian, cuma
nasib tidak menyebelahinya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Badrul Hisham mencipta sejarah, apabila
memecahkan rekod kebangsaan 100m di kejohanan itu, menerusi catatan
10.29 saat, sekaligus memadamkan rekod 10.30 saat yang dipegang Watson
Nyambek selama 17 tahun.
Zainal
berkata, sebagai penganjur, Persatuan Olahraga Brunei (BAA) perlu
memastikan mereka mengikuti segala piawaian yang ditetapkan Persekutuan
Olahraga Antarabangsa (IAAF).
Katanya lagi, bukan menjadi tanggungjawab
jurulatih ataupun pelari untuk memastikan penganjur mengikut syarat dan
terma yang ditetapkan badan induk olahraga dunia.
Zainal berkata, selaku jurulatih, beliau
hanya menghantar laporan kepada Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM)
mengenai rekod yang dilakukan Badrul Hisham dan kesahihan rekod
berkenaan perlu diuruskan badan induk itu.
“Kita sudah serahkan segala rekod kepada
KOM dan terpulang kepada mereka untuk dapatkan penjelasan yang lebih
tepat daripada penganjur dan BAA. Saya sudah maklumkan kepada KOM
mengenai isu ini,” katanya.
Media elektronik tempatan hari ini
mendakwa, rekod kebangsaan Badrul Hisham dianggap tidak sah, berikutan
kegagalan penganjur di Brunei mengikut spesifikasi ditetapkan IAAF.
Antara yang tidak dipatuhi adalah alat
pengukur angin yang tidak berada di garisan 50m, selain bukti
‘photofinish’ di mana kedua-dua aspek itu wajib ada untuk mendapat
pengiktirafan IAAF.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.