BERNAMA
Larangan penjualan vape akan dikuatkuasakan melalui Undang-undang Kecil Tred Perniagaan, Industri dan Profesion di bawah MPM.
MUAR, Majlis Perbandaran Muar (MPM) memberikan tempoh sebulan kepada peniaga vape di daerah berkenaan untuk menghabiskan stok bahan itu di premis masing-masing, sebelum pengharaman penjualannya dilaksanakan pada 1 Januari nanti.
Yang Dipertuanya, Jamaludin A. Hamid
berkata, pihaknya akan mengeluarkan notis mengenai perkara itu, dengan
memberi amaran kepada peniaga vape yang ingkar akan didenda serta lesen
perniagaan boleh ditarik.
“Denda sehingga RM2,000 boleh dikenakan,
selain barang-barang mereka boleh dirampas. Sehingga tempoh itu, mereka
perlu menjual stok sedia ada atau mencari alternatif untuk menghabiskan
stok.
“Larangan penjualan vape nanti akan
dikuatkuasakan melalui Undang-undang Kecil Tred Perniagaan, Industri dan
Profesion di bawah MPM,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam,
kerajaan Johor memaklumkan akan mengeluarkan pekeliling baru untuk
mengharamkan penjualan vape, menerusi undang-undang kecil pihak berkuasa
tempatan (PBT) dalam masa terdekat.
Langkah tersebut susulan titah Sultan
Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada Ahad lalu yang mengarahkan
produk vape diharamkan di negeri itu, mulai 1 Januari 2016.
Jamaludin berkata, selepas penguatkuasaan
itu, MPM akan bekerjasama dengan bahagian farmasi dan jabatan kesihatan
daerah untuk menyerbu dan merampas produk vape mengikut Akta Racun
1952.
Katanya, ketika ini, peniaga produk vape
di daerah itu menggunakan lesen barangan serbaneka dan beliau berharap
semua peniaga vape mematuhi peraturan baru itu.
Jelasnya, MPM boleh mendapatkan perintah mahkamah untuk menutup premis pengusaha yang masih ingkar mematuhi arahan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.