THE RAKYAT POST
Sayang seribu kali sayang
apabila M. Nasir tidak diangkat sebagai ikon 'Anugerah Juara Lagu'
walhal kalau diikutkan nama beliau seharusnya berada dalam senarai
memandangkan kejayaannya menjadi komposer paling banyak memenangi
pertandingan itu dengan empat kali kejuaraan. - Foto TRP/Syahirah Roslan
KUALA LUMPUR, Seiring dengan sambutan ulang tahun ke-30 penganjuran Anugerah Juara Lagu (AJL) yang akan berlangsung pada 24 Januari depan di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor, pihak TV3 selaku penganjur telah memilih lima ikon yang telah memberikan impak besar sepanjang penganjuran anugerah berprestij itu.
Mereka yang terpilih ialah gandingan
komposer terkenal, Manan Ngah dan penyanyi ternama, Francissca Peter
yang pernah mencipta kegemilangan menerusi lagu Sekadar Di Pinggiran sekaligus menjadi pemenang sulung AJL pada tahun 1986.
Kemudian, kumpulan rock legenda, Search
juga turut diangkat sebagai ikon AJL di atas kejayaan mereka yang
menjadi kumpulan muzik pertama yang menjuarai AJL pada tahun 1989 atas
tiket lagu keramat mereka, Isabella hasil gandingan ciptaan mereka bersama Bob Lokman selaku penulis lirik.
Apabila
menyebut tentang AJL, pastinya nama penyanyi tersohor negara ini akan
terus terpahat kemas dalam sejarah penganjuran AJL iaitu Datuk Siti
Nurhaliza yang turut diiktiraf sebagai penyanyi wanita yang paling
banyak dijulang dengan gelaran AJL menerusi Jerat Percintaan (1996), Cindai (1998) dan Balqis (2000).
Tidak cukup dengan itu, pentas AJL juga
pernah menyaksikan kegemilangan dan fenomena lagu-lagu berentak
tradisional dan Irama Malaysia yang seringkali memeriahkan anugerah itu
kira-kira sedekad lalu.
Justeru, dua nama ikon yang cukup masyhur
dalam memartabatkan lagu-lagu berkenaan di pentas AJL yakni Datuk
Suhaimi Mohd. Zain atau lebih dikenali sebagai Pak Ngah dan penulis
lirik prolifik, Hairul Anuar Harun turut menerima pengiktirafan daripada
TV3 di atas penguasaan mereka dalam kategori itu.
Lebih-lebih lagi apabila kedua-duanya pernah bergelar juara sebanyak dua kali pada tahun 1998 dan 2000 masing-masing untuk lagu Cindai dan Balqis.
Sebagai juara pertandingan itu untuk
edisi ke-29 awal tahun ini, Joe Flizzow dan SonaOne tidak dilupakan
apabila diiktiraf oleh TV3 sebagai penyanyi, komposer dan penulis lirik
untuk lagu hip hop dan rap pertama yang diangkat sebagai juara menerusi
lagu Apa Khabar.
Pun begitu, ada kemusykilan di sebalik
pemilihan ikon-ikon ini kerana sepanjang 30 tahun AJL diadakan,
sebenarnya ramai lagi yang turut layak menerima pengiktirafan dan
digelar ikon di atas sumbangan mereka di pentas AJL.
Usah pandang jauh, kehebatan komposer dan
penulis lirik ternama negara, Datuk M. Nasir adalah nama yang secara
terang-terangan telah tercicir dan terlepas pandang oleh pihak TV3.
Adakah M. Nasir tidak layak untuk
bergelar ikon AJL sedangkan dia sepatutnya diangkat sebagai ikon selaku
komposer yang paling banyak memenangi AJL iaitu empat kali bermula
dengan lagu Tanya Sama Itu Hud Hud pada tahun 1994, Ghazal Untuk Rabiah (1997), Andalusia (1999) dan Awan Nano (2011).
Pastinya itu adalah satu kejayaan yang secara terang-terangan layak dan wajar untuk dijadikan sebagai ikon AJL.
Bagi menjawab persoalan itu, Pengurus Besar Kumpulan, Pengurusan Jenama dan Rancangan TV3 dan TV9, Sherina Mohamed Nordin
menjelaskan soal layak atau tidak memang tidak timbul kerana pihaknya
mahu memberikan pengiktirafan kepada mereka yang benar-benar memberikan
impak.
“Bukan itu sahaja, isu tidak terlepas
pandang juga tidak timbul. Mungkin bukan kali ini tetapi siapa tahu
mungkin sambutan ulang tahun ke-40, nama M. Nasir akan dipilih sebagai
ikon pula bersama-sama mereka yang akan terus mencipta rekod dan
kegemilangan baharu selepas ini,” katanya lagi.
Jawapan Sherina itu kemudiannya disambut dan dibalas pula Pengurus Hiburan Primeworks Studios Sdn. Bhd., Muhamad Sufian Isa yang turut menafikan perkara itu (kegagalan menyenaraikan nama M. Nasir sebagai ikon).
Tidak mahu pihak media terus dibelenggu
kekeliruan, Muhamad Isa menerangkan bahawa pemberian gelaran ikon AJL
kepada lapan individu menerusi lima kategori itu adalah berdasarkan
kepada komitmen mereka dalam menjayakan sesi promosi sempena AJL 30.
“Kami memang cukup sedar impak yang
dihasilkan oleh M. Nasir sepanjang AJL diadakan tetapi dari awal lagi,
beliau tidak dapat memberikan komitmen untuk sesi promosi ini lalu kami
tidak dapat berbuat apa-apa.
“Pihak kami memang menyenaraikan beberapa
nama untuk dijadikan ikon tetapi semuanya bergantung kepada masa dan
jadual mereka juga. Lalu, kami sepakat untuk memberikan penghargaan
kepada lapan individu ini menerusi lima kategori berasingan,” jelasnya
panjang lebar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.