Khamis, 5 November 2015

Lori tangki LPG bocor: Ratusan pemandu terperangkap dalam kesesakan di Lebuhraya PLUS

Nazialita Geynna Maharan, Astro Awani
 
Lori tangki LPG bocor: Ratusan pemandu terperangkap dalam kesesakan di Lebuhraya PLUS
Jelasnya, tindakan menutup jalan tersebut adalah untuk memastikan keselamatan kesemua pengguna jalan raya tidak terancam. - Gambar Fail
 
 
TAPAH: Ratusan pengguna jalan raya terpaksa menunggu berjam-jam gara-gara terperangkap di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) selepas pihak berkuasa menutup laluan itu berikutan kebocoran gas cecair petroleum (LPG) dari lori tangki di Kilometer 311 arah utara hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Negeri Perak, Penolong Penguasa Bomba 1, Hasrin Hasdi berkata lebuh raya tersebut telah ditutup sejak 12.45 tengahari sebaik sahaja pihaknya tiba di lokasi kejadian.

Jelasnya, tindakan menutup jalan tersebut adalah untuk memastikan keselamatan kesemua pengguna jalan raya tidak terancam.

"Gas cecair petroleum ini merupakan bahan kimia yang amat sensitif dan amat mudah terbakar, sedikit sahaja percikan atau haba panas akan menyebabkan insiden yang tidak dapat dijelaskan.

"Kami menasihatkan pengguna jalan raya ke arah selatan untuk menggunakan susur keluar Tol Gopeng dan mereka yang menghala ke utara per‎lu menggunakan susur keluar Tapah," katanya ketika dihubungi Astro Awani pada malam Rabu.

Hasrin berkata ‎pihaknya bekerjasama dengan pelbagai agensi seperti kakitangan PLUS, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan PDRM untuk memastikan keadaan kesesakan lalu lintas ke arah utara itu dalam keadaan terkawal.

Jelasnya, pihaknya menyedari ramai pengguna jalan raya yang tidak berpuas hati terhadap penutupan jalan tersebut kerana terpaksa berada di jalan raya sejak tengahari namun mereka harus melaksanakan penguatkuasaan demi keselamatan semua.

Sebelum itu, pihak bomba melaporkan sebuah lori telah diberhentikan di tepi jalan selepas pemandunya mendapati terdapat kebocoran di dalam lori tangki yang membawa muatan LPG seberat tujuh tan itu.

‎" Walaupun kami sepatutnya membuka jalan tersebut pada pukul 5.30 petang, tapi kami harus menundanya ke pukul 9 malam kerana masih terdapat dua tan cecair LPD yang tidak boleh disemburkan ke udara dengan menggunakan air," ujarnya.

Buat masa ini, jarak laluan penutupan adalah sekitar 18 kilometer bermula dari Tol Tapah ke Tol Gopeng.
Menurut beliau, lebihan cecair LPG‎ telah dihantar ke syarikat operasi dengan menggunakan lori pembantu pada petang semalam.

Setakat 10.45 malam tadi, laluan di Lebuhraya Utara Selatan antara Tapah-Gopeng di kedua-dua hala masih belum dibuka untuk laluan bagi menjalankan kerja-kerja membaik pulih kebocoran pada tangki sebuah lori yang membawa muatan gas. 
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.