Khamis, 1 Oktober 2015

YANG DIPENJARA KHIR TOYO, PENGAJARANNYA ADALAH UNTUK KITA

shahbudindotcom

 






Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Khir Toyo akhirnya terpaksa merengkok di Penjara Kajang selama 12 bulan berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan menolak sebulat suara rayuannya untuk menukar hukuman itu kepada bentuk khidmat sosial dengan memberikan rawatan gigi secara percuma selama dua tahun.

Melalui keputusan mahkamah paling tinggi itu, hanya pengampunan Sultan Selangor saja lagi selepas ini yang dapat meringankan hukuman yang diterimanya itu.

Dengan tidur di penjara yang tidak pernah terduga olehnya, mungkin malam ini dan beberapa malam seterusnya Dr Khir agak sukar melelapkan mata atau hanya mampu berjaga sepanjang malam sambil mengenang nasib dirinya.

Sebagai manusia, memang kita bersimpati dengan nasib yang menimpa dirinya. Tidak bersimpati pula bermakna kita sebagai manusia sudah hilang nilai-nilai kemanusiaan itu. 

Siapalah menduga daripada kedudukan yang tinggi sebagai ketua sebuah kerajaan negeri paling kaya, tiba-tiba menjadi penghuni penjara.

Namun, kita tidak boleh pula terlalu bersimpati dan kasihan sehingga menganggap perbuatan rasuah itu sebagai jenayah yang boleh dimaafkan. Dalam kehidupan dan beragama sekali pun, amalan rasuah memang amat ditegah kerana kesannya yang amat buruk kepada kehidupan serta tamadun manusia.

Oleh itu, dalam kita bersimpati kepada hukuman yang diterima Dr Khir ini, ia haruslah berpada-pada sebenarnya. Salah tetap salah dan undang-undang hendaklah dihormati.

Yang penting daripada kes Dr Khir ini ialah apakah pengajarannya kepada kita semua?

Kita semua yang dimaksudkan itu ialah pemimpin yang sedang memegang jawatan, mereka yang sedang mengejar kuasa dan sesiapa saja yang entah tiba-tiba diletakkan kuasa ke ribanya suatu hari nanti.

Kepada yang sedang gah dan megah dengan kuasa serta ghairah mengumpul kekayaan, kes Dr Khir ini seharusnya menjadi ulangan sekian banyak peringatan kepada mereka. Selain sudah banyak kes rasuah melibatkan pemimpin menjadi tontotan kita selama ini, apabila tidak lagi berkuasa, kes-kes lama juga bila-bila masa boleh diungkit semula.

Kalau mahu curi-curi makan juga, pandai-pandailah melakukannya. Tetapi sebijak mana pun melakukannya, janganlah dilupa bahawa hanya hukuman di dunia saja yang mampu dielakkan kerana di akhirat nanti, semua rakaman perbuatan kita tetap akan ditayangkan semula tanpa tapisan atau suntingan walau sedikit pun.

Kepada yang belum beroleh kuasa dan sedang mengejarnya, jadikanlah kes Dr Khir ini sebagai teladan untuk berkhidmat dengan jujur dan amanah serta takut untuk mendekati sebarang amalan rasuah.

Kita yang bukan siapa-siapa hari ini dan begitu kuat membenci rasuah, haruslah juga ingat bahawa jangan sementara belum ada kuasa saja menolak atau membenci rasuah tetapi berubah sikap apabila tiba-tiba ada kuasa dalam genggaman.

Rasuah haruslah dibenci ketika tidak ada kuasa, malah seharusnya lebih dibenci apabila mempunyai kuasa kerana rasuah semakin menggila apabila kian tinggi jawatan yang disandang.

Hari ini mungkin nasib Dr Khir Toyo, entah esok lusa barangkali nasib kita pula,  walaupun sekarang ini kita belum menjadi siapa-siapa lagi. Terlebih mustahak daripada segala-galanya ialah siapa pun kita hari ini, ambillah sedikit iktibar daripada apa yang menimpa Dr Khir ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.