Khamis, 1 Oktober 2015

Macai, jika terbongkar kamu akan dihina, keji

Macai, jika terbongkar kamu akan dihina, keji
Abu Kassim (kanan) ketika Majlis Perasmian Kevin Morais Moot Court, hari ini.


KUALA LUMPUR - 'Anda tidak boleh lari'. Demikian antara amaran Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed terhadap pihak yang bertanggungjawab atas kematian Timbalan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara, Anthony Kevin Morais.

Menurutnya, apa yang berlaku hanya melengahkan siasatan bukan menghentikan siasatan atau pendengaran kes sama sekali.

"Saya lihat situasi yang dialami tuan Kevin sebagai satu cubaan untuk menggagalkan kes yang sedang dibicarakan atau usaha untuk mengganggu dan menakut-nakutkan atau satu usaha intimidasi ke atas pegawai pencegah rasuah. Mereka sanggup guna apa saja cara untuk halang siasatan.

"Kepada pihak-pihak yang mahu menghalang siasatan dan kes yang dibicarakan, dunia hari ini sudah berbeza. Anda tidak boleh lari daripada sistem keadilan. Jangan cuba halang, ganggu dan kekang proses siasatan dan perbicaraan.

"Anda boleh menang sembunyikan bukti dari mata pihak berkuasa tapi anda tidak boleh sembunyikan daripada mata rakyat," katanya.

Abu Kassim berkata demikian dalam kemunculan pertamanya selepas bercuti sakit bulan lalu pada Majlis Perasmian Kevin Morais Moot Court sempena sambutan hari ulang tahun ke-48 SPRM, hari ini.

Namun atas faktor kesihatan, beliau hanya memberi kata aluan dan teks ucapannya dibacakan oleh Timbalannya (Operasi), Datuk Seri Shukri Abdull.

Abu Kassim juga memberi amaran kepada macai atau pihak yang bersubahat dalam cubaan menggagalkan siasatan atau perbicaraan kes rasuah bahawa imbuhan yang diperoleh mereka tidak akan menjamin ketenangan dan ketenteraman dalam kehidupan.

"Perbuatan keji yang dilakukan akan mengganggu kehidupan hingga akhir hayat. Jika perbuatan tersebut terbongkar, kamu akan dihina dan dikeji oleh masyarakat.

"Pada masa itu, barulah kita sedar apa yang kita dapat langsung tidak ada nilai berbanding dengan maruah diri yang hilang," katanya.

Tambahnya, mana-mana pihak yang bersalah boleh mengelak daripada dikesan untuk suatu tempoh tertentu sahaja bukan selama-lamanya.

"Ingat siasatan tidak akan berhenti hanya kerana ada pihak yang cuba menyembunyikan bukti atau melarikan saksi. Jika terbukti bersalah, mahkamah adalah tempat pengadilan kelak.

"Rakyat akan menilai dan menghukum anda. Tidak kita anda rakyat biasa, ahli perniagaan, tokoh korporat atau pemimpin politik," katanya.

Dalam ucapan sama, beliau melahirkan harapan agar pegawai-pegawainya meneruskan tugas sebagaimana yang diharapkan oleh rakyat dengan bebas, telus dan profesional.

"Ini sebahagian ujian dan dugaan yang kita perlu lalui sebagai seorang pegawai pencegahan rasuah dan warga kerja SPRM.

"Pengurusan tertinggi SPRM akan terus bersatu dalam menangani kesemua dugaan yang kita sedang hadapi sekarang. Kita mahu memastikan kehendak rakyat sentiasa diutamakan," katanya.

Beliau memberitahu, pihaknya tidak mahu ada mana-mana penguatkuasa gugur di tangan pihak yang mementingkan diri sendiri seperti yang menimpa Kevin Morais.

"Saya berharap masyarakat akan terus bersama dengan SPRM terus memberi sokongan supaya nasib yang menimpa tuan Kevin tidak berulang.

"Kita tidak mahu seorang lagi timbalan pendakwa raya atau hakim gugur di tangan pihak yang hanya utamakan kepentingan diri sendiri dan yang menguntungkan diri mereka," katanya.

Nama Kevin Morais diabadikan pada Moot Court di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), Kuala Lumpur sebagai tanda memperingati bekas pegawainya itu.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.