SINAR HARIAN
KUALA LUMPUR - Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed akan menyertai Mesyuarat Menteri-Menteri Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) selama dua hari mulai esok di Atlanta, Amerika Syarikat (AS).
Dalam satu kenyataan hari ini, Mustapa bagaimanapun menegaskan kehadirannya bukan untuk menandatangani perjanjian tersebut kerana sebarang keputusan akhir akan ditentukan Parlimen.
"Saya bukannya ke Atlanta untuk menandatangani perjanjian itu, sebaliknya bagi memastikan kepentingan negara terpelihara dalam rundingan ini.
"Ia akan hanya ditandatangani sekiranya rakyat dan Parlimen berpuas hati bahawa TPP secara keseluruhannya memberi manfaat kepada Malaysia," katanya.
Mustapa turut menegaskan pendirian Malaysia mengenai TPP adalah berdasarkan Perlembagaan negara, dasar- dasar penting membabitkan bumiputera, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta hak dan kepentingan kerajaan-kerajaan negeri.
Sekiranya perbincangan di Atlanta mencapai kemajuan dan kepentingan Malaysia terpelihara, teks perjanjian akan dihebahkan kepada umum kira-kira sebulan selepas itu, katanya.
"Kerajaan sedar bahawa TPP mempunyai kos dan faedah. Inilah sebabnya kenapa aspek analisis kos dan faedahnya dilakukan serta akan turut dibentangkan di Parlimen untuk dibahaskan," katanya.
Mustapa turut menggesa rakyat agar bersikap terbuka berhubung perkara itu.
Kajian analisis kos faedah oleh Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) dan firma PricewaterhouseCoopers (PwC) juga akan dikemaskini berdasarkan persetujuan yang telah dicapai.
"Hasil kajian ini akan didedahkan kepada umum. Pada masa ini kajian berkenaan belum siap kerana rundingan ini masih berjalan," katanya.
Malah, kata Mustapa, draf perjanjian TPP serta hasil kajian itu akan diumumkan kepada rakyat serta dibahaskan di Parlimen, kelak.
"Parlimen akan membuat keputusan sama ada akan menandatangani perjanjian ini atau tidak," katanya.
Mesyuarat di Atlanta tersebut adalah yang kedua tahun ini dan melibatkan menteri-menteri negara-negara berkaitan.
Rundingan TPP diadakan sejak lebih lima tahun dan mesyuarat di Atlanta bagi meneruskan rundingan berkaitan isu-isu tertunggak.
Menurut kenyataan itu, TPP adalah satu perjanjian perdagangan merangkumi 12 buah negara dan penglibatan Malaysia atas dasar kepentingan perdagangan dan pelaburan terhadap ekonomi negara. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.