Rabu, 30 September 2015

M’sia, China, Australia komited kesan lokasi MH370

SINAR HARIAN



Azharuddin Abdul Rahman
Azharuddin sewaktu mengadakan sidang media mengenai kehilangan pesawat MH370, Mac lalu.


BEIJING - CHINA. Malaysia, China dan Australia masih komited untuk mengesan lokasi MH370 yang hilang di selatan Lautan Hindi tahun lepas, kata Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman.
  
Beliau berkata ketiga-tiga negara mengadakan mesyuarat di China hari ini untuk membincangkan operasi pencarian yang sedang giat dijalankan bagi mengesan pesawat Boeing 777 itu, sebagai susulan kepada mesyuarat di Canberra awal bulan ini.
  
Mesyuarat itu bermula seawal 8.30 pagi dan selesai pada 6 petang, dihadiri pegawai daripada Kementerian Pengangkutan dan Hal Ehwal Luar China, pegawai daripada Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) Australia dan Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) serta wakil Kementerian Pengangkutan Malaysia, DCA dan jawatankuasa waris (NOK) penumpang dan anak kapal MH370.
 
 "Saya berbesar hati untuk melaporkan bahawa ketiga-tiga negara masih amat komited dalam usaha pencarian ini. Seperti yang anda tahu, kepingan flaperon ditemukan pada 29 Julai (di Reunion Island dalam kawasan Perancis) telah disahkan adalah daripada pesawat MH370.
  
"Ini mengesahkan lakaran hanyut oleh pakar bahawa kami mencari di tempat yang betul," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Selain itu, Azharuddin berkata ujian sedang dijalankan untuk menentukan sama ada ia dapat menghasilkan maklumat lain berhubung apa yang berlaku terhadap pesawat itu.
  
"Malah teritip (terdapat pada flaperon) juga sedang diperiksa oleh pakar biologi marin untuk mendapatkan petunjuk," katanya.
  
Azharuddin berkata berdasarkan nasihat daripada pakar, apa juga opsyen akan terus diterokai dalam usaha pencarian itu, dengan mengambil kira sumber yang ada termasuk dana, peralatan dan kapal.
  
"Seperti biasa, kami berharap misteri MH370 akan dapat dirungkai dan keluarga akan dapat mengakhiri penantian mereka," katanya.
 
 Pada 8 Mac tahun lepas, penerbangan MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, hilang daripada radar. - Bernama


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.