MICHAEL MURTY
Pemimpin DAP dan Gerakan
'bertembung' ketika membuat lawatan mengenai situasi di Jalan Petaling
di sini hari ini. Kesemua pemimpin yang hadir tidak menyokong
perhimpunan yang dikatakan akan berlaku dan menyatakan sokongan mereka
terhadap perpaduan kaum di Malaysia. Foto TRP/ Ikhwan Hazwan
KUALA LUMPUR, Berikutan kemungkinan akan berlakunya perhimpunan hari ini, beberapa orang pemimpin pembangkang, berserta parti Gerakan dan juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bertindak turun ke Jalan Petaling sebagai tanda menyokong keharmonian antara kaum di Malaysia.
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah
Anwar berkata kehadirannya di Jalan Petaling hari ini adalah untuk
menyokong perpaduan di antara semua kaum.
“Perpaduan bukan hanya untuk mereka yang
berniaga di sini, tetapi juga untuk semua yang selalu datang ke sini.
Tempat ini adalah kepunyaan semua rakyat Malaysia,” katanya pada satu
sidang media di Jalan Petaling pagi tadi.
Nurul Izzah mendakwa tindakan rasis yang dipamerkan oleh kumpulan baju merah adalah dari ‘zaman batu’.
Sebagai seorang Muslim, Nurul Izzah
berkata ianya menjadi tanggungjawab bersama untuk membanteras sebarang
tindakan yang boleh memecah-belahkan rakyat Malaysia dengan menggunakan
rhetorik mengecewakan.
“Saya
rasa kesemua pemimpin yang hadir hari ini adalah penting untuk kita
berkata dengan lantang bahawa kita menentang sebarang percubaan untuk
memecah belahkan kaum-kaum di Malaysia, dan kita akan berjuang untuk
perpaduan.
Nurul Izzah seterusnya mendakwa bahawa ‘tindakan rasis’ itu mendapat restu dari Kabinet dan kerajaan.
Justeru, katanya, suara mereka yang hadir ini harus lebih lantang untuk melawan rhetorik yang dibawa.
Dalam perkembangan tersebut, Nurul IZzah
mempelawa pemimpin-pemimpin Umno untuk membela maruah Melayu dengan
menolak rasuah dan segala skandal.
“Marilah kita ambil masa dua minggu akan datang ini untuk membawa perubahan,” katanya.
Sementara itu, pemimpin DAP Lim Kit Siang
mendakwa himpunan baju merah dianjurkan semata-mata untuk memastikan
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kekal berkuasa.
“Mereka menggunakan ancaman perkauman
untuk mengekalkan kuasa beliau sebagai Perdana Menteri. Merekan
menggunakan alasan kaum untuk itu. Sebab itulah mereka memutarbelitkan
perhimpunan Bersih sebagai tanda kuasa orang Cina terhadap kuasa politik
orang Melayu. Itu sahaja,” kata Lim pada sidang media yang sama.
Lim turut mempelawa Timbalan Perdana
Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk memberi komitmen sepenuhnya
dalam membuktikan bahawa Umno tidak akan menggunakan alasan perkauman
untuk menyelesaikan masalah-masalah negara.
“Saya ingin bertanya padanya (Ahmad
Zahid), adakah beliau mahu berbincang dengan kita demi negara,” kata Lim
lagi, menyatakan bahawa pihak pembangkang sudi berbincang bersama Ahmad
Zahid.
Ahli Parlimen Wangsa Maju Datuk Dr Tan
Kee Kwong pula berkata beliau berasa malu apabila duta China ke Malaysia
Dr Huang Huikang terpaksa turun ke Jalan Petaling semalam untuk
bercakap menentang keganasan perkauman.
“Dia terpaksa turun ke Jalan Petaling untuk memberi nasihat kepada kita. Ini sangat teruk dan tidak pernah berlaku sebelum ini.
“Sebagai rakyat Malaysia, saya malu
apabila duta China ke Malaysia terpaksa memberitahu kita bagaimana kita
harus tangani masalah ini.
“Saya tidak tahu mana hendak letak muka,” katanya lagi.
Semalam, Huang bertindak turun ke Jalan
Petaling dan memberi amaran supaya tidak menggunakan keganasan untuk
mengancam keselamatan masyarakat.
Naib Presiden Parti Gerakan, Datuk Dr
Asharuddin Ahmad yang turut turun berkata NGO Melayu juga tidak
bersetuju dengan penganjuran himpunan seumpama itu.
Menurutnya, perkara tersebut dibuktikan apabila tidak ada pun mereka yang dikatakan ingin berhimpun hadir ke Jalan Petaling.
“Perkara ini tidak bagus untuk perpaduan
masyarakat di negara ini kerana kebanyakan orang Melayu, India dan Cina
mahu hidup dalam suasana harmoni. Jadi tidak perlu ada ancaman perkauman
seperti ini sebaliknya perlu membantu kerajaan dalam usaha
menyatupadukan rakyat Malaysia,” katanya.
Semalam, Presiden Persatuan Veteran
Tentera Melayu, Mohd Ali Baharom menyatakan bahawa himpunan berkenaan
dibatalkan selepas pihak berkuasa menyarankan berbuat demikian.
Malah, Pengerusi Gabungan NGO Melayu,
Datuk Jamal Md Yunos turut ditahan polis semalam di bawah Akta Hasutan
berikutan kenyataannya berkenaan kemungkinan akan berlaku perhimpunan
hari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.