AHMED SYAHRIL ZULKEPLY
Mohammad Agus berkata,
untuk melenyapkan PAS dalam arus politik negara adalah mustahil, kerana
PAS adalah parti yang mempunyai asas ideologi perjuangan kukuh. PAS juga
mempunyai cukup pengalaman dalam arus politik negara, sejak 1951 lagi. -
Foto Facebook Mohammad Agus Yusoff
KUALA LUMPUR, “PAS tanpa Pakatan, bagaimana politik negara ke depan? Itulah debat utama perbincangan bagi mereka yang prihatin dengan politik negara,” kata Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff.
Menurutnya, ada yang berpendapat, PAS
akan bertambah kuat, kerana boleh terus memperjuangkan agendanya tanpa
halangan daripada rakan di Pakatan Harapan, tidak kurang pula yang
berpandangan, PAS akan kalah teruk pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan
datang.
“Tetapi bagi saya, untuk melenyapkan PAS
dalam arus politik negara adalah mustahil, kerana PAS adalah parti yang
mempunyai asas ideologi perjuangan kukuh. PAS juga mempunyai cukup
pengalaman dalam arus politik negara, sejak 1951 lagi.
“Cumanya,
bolehkah PAS menang sebanyak mana kerusi yang dimenanginya dalam PRU
lalu tanpa Pakatan? Jawapan saya, susah untuk PAS mengekalkan
kemenangannya, kerana komposisi pengundi negara memerlukan PAS turut
mendapat sokongan pengundi bukan Melayu, sesuatu yang sukar untuk PAS
memperolehinya tanpa Pakatan,” katanya yang dipetik daripada laman
Facebook miliknya.
Dalam pada itu, Mohammad Agus menjangkakan, Pakatan Harapan akan kehilangan sokongan pengundi Melayu konservatif.
“Parti Amanah Negara (Amanah), parti baru
yang ditubuhkan tetap boleh mendapat sokongan pengundi Melayu
progresif, tetapi tidak banyak sekiranya Amanah kekal dalam PAS.
“Apatah lagi, jika PAS bekerjasama dengan Umno, maka Pakatan akan kehilangan sokongan pengundi Melayu yang banyak,” katanya.
Beliau juga berpendapat, Pakatan Harapan terlalu tergesa-gesa membentuk gabungan baru.
“Sepatutnya Pakatan Harapan lebih berjiwa
besar, dengan merundingi terlebih dahulu kemasukan gabungan parti-parti
baru dari Sabah dan Sarawak serta juga tidak meninggalkan PSM (Parti
Sosialis Malaysia). Bagaimana pula politik kita ke depan?
“Saya mengharapkan parti-parti politik
melupakan perbezaan masing-masing dan bekerja ke arah mewujudkan satu
kerjasama yang holistik.
“Fungsi pembangkang bukan sekadar untuk
menentang kerajaan semata-mata, tetapi untuk menggubal satu dasar
bersama, demi kebaikan negara. Inilah yang mahu dilihat oleh rakyat
Malaysia untuk kebaikan dan masa depan negara.
“Persoalannya, bolehkah Pakatan
memberikan harapan itu tanpa parti-parti dari Sabah dan Sarawak dan
PSM? Nampaknya, parti pembangkang juga masih kalut dalam keadaan Barisan
Nasional (BN) juga sudah semakin lemah,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.