Isnin, 28 September 2015

'Menteri restu, saya tak langgar protokol'

Kow Gah Chie


 


Timbalan Menteri Luar Negara, Datuk Seri Reezal Merican Naina menafikan dakwaan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz bahawa beliau melanggar protokol dengan memanggil Duta China ke Malaysia Huang Huikang.

Menurut Reezal, keputusan memanggil Huang, yang membuat kenyataan dipertikaikan di Jalan Petaling, Kuala Lumpur, berdasarkan kebenaran yang Menteri Luar Negara Datuk Seri Anifah Aman.

Anifah kini berada di New York, Amerika Syarikat untuk Perhimpunan Agung Bangsa-bangsa Bersatu.

"Oleh itu, adalah tidak tepat untuk melaporkan bahawa saya yang membuat keputusan untuk bertemu dengan Duta China.

"Saya tidak menandatangani sebarang surat, malah saya tidak melanggar mana-mana protokol seperti yang didakwa. Dan saya peka sepenuhnya tentang prosedur operasi standard Wisma Putra.

"Saya mempunyai keyakinan yang penuh terhadap pegawai-pegawai Wisma Putra dalam mengendalikan keadaan seperti itu," katanya kepada Malaysiakini.

Nazri berpendapat Reezal melanggar protokol dengan memanggil duta besar China itu.

Nazri memberitahu Malaysiakini, tindakan itu dikatakan melanggar protokol kerana hanya menteri luar negara sahaja yang boleh memanggil duta tersebut dan bukan timbalan menteri.

Nazri juga mendakwa bahawa arahan supaya duta tersebut bertemu timbalan menteri luar negara dibatalkan.

Bagaimanapun, Huang kemudian bertemu dengan pemangku menteri luar negara Datuk Hamzah Zainuddin berhubung perkara itu hari ini.

Hamzah sebelum ini merupakan timbalan menteri luar sebelum rombakan kabinet dibuat pada Julai lalu. Beliau kini dilantik sebagai menteri perdagangan dalam negeri, koperasi dan kepenggunaan.

Huang Jumaat lalu melawat Jalan Petaling. Lawatan itu dibuat sehari sebelum perhimpunan yang diuar-uarkan di kawasan itu. Perhimpunan itu bagaimanapun tidak berlaku.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.