BERNAMA
MT Orkim Harmony yang
membawa muatan 6,000 tan metrik petroleum RON95, dirampas pada 11 Jun
lalu, ketika berada 30 batu nautika dari Tanjung Sedili, Johor. - Foto
arkib TRP
JAKARTA, Tentera Laut Indonesia telah menahan seorang lelaki yang dipercayai dalang di sebalik rampasan kapal tangki Malaysia, MT Orkim Harmony.
Akhbar The Jakarta Post yang
memetik seorang jurucakap tentera laut, Kol M. Zainudin sebagai berkata,
pasukan IV Tindak Balas Cepat Armada Barat (WFQR) menahan seorang
suspek warga Indonesia yang dikenali sebagai Albert Yohanes, di sebuah
pangsapuri di Grogol Petamburan, Jakarta Barat, pada Khamis lalu.
“Albert Yohanes dipercayai menjadi dalang
utama di sebalik drama rampasan kapal tangki Malaysia. Kejayaan pasukan
itu adalah hasil usaha bersungguh-sungguh memburu sasaran utama dalam
senarai orang dikehendaki dalam tempoh sebulan setengah,” katanya.
Suspek itu kini ditahan Polis Tentera
Laut (Pomal) di Kelapa Gading, Jakarta Utara, untuk disoal siasat,
sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Bagaimanapun, beliau tidak dapat
mengesahkan sama ada suspek itu akan didakwa di republik itu atau akan
diekstradisi ke Malaysia.
MT Orkim Harmony yang membawa muatan
6,000 tan metrik petroleum RON95, dirampas pada 11 Jun lalu, ketika
berada 30 batu nautika dari Tanjung Sedili, Johor.
Kapal tangki tersebut berjaya dikesan di
Teluk Siam oleh sebuah kapal peninjau Tentera Udara Diraja Australia
yang berpangkalan di Butterworth, pada 17 Jun lalu.
Semua lapan lanun terbabit telah ditahan
Pasukan Pengawal Pantai Vietnam, berhampiran Phu Quoc, selepas melarikan
diri dari kapal terbabit, pada 19 Jun lalu.
Petroleum dalam kapal terbabit dimiliki Petronas dan ia dikendalikan Orkim Ship Management.
Semasa kejadian, kapal itu membawa 22 kru, termasuk 16 rakyat Malaysia, Indonesia (lima) dan Myanmar (seorang).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.