PASIR MAS: Badan Perhubungan Umno Kelantan mengutuk perhimpunan haram Bersih 4 di ibu negara hari ini dan esok kerana ia boleh menjejaskan keharmonian rakyat dan keamanan negara, kata pengerusinya Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Beliau menyifatkan penganjur perhimpunan haram itu "kurang ajar" kerana
memilih tarikh dan lokasi yang sama dengan sambutan Hari Kebangsaan
2015 di Dataran Merdeka dan kawasan sekitarnya.
"Dia pilih tarikh dan lokasi kita nak sambut ambang kemerdekaan,
walaupun mereka ditawarkan tempat lain namun mereka teruskan rancangan
mereka itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan
perwakilan Umno Bahagian Pasir Mas di Pasir Mas hari ini.
Polis Diraja Malaysia pada Selasa lalu mengisytiharkan perhimpunan
Bersih 4 sebagai perhimpunan haram kerana gagal mematuhi Akta
Perhimpunan Aman 2012.
Bagaimanapun, penganjur perhimpunan haram itu masih ingin meneruskan
program itu yang bukan sahaja menyalahi arahan pihak berkuasa malah akan
mengganggu persiapan menyambut Hari Kebangsaan 2015 di Dataran Merdeka,
Isnin ini.
Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata
seluruh rakyat harus bersatu mempertahankan keamanan negara kerana
apabila keadaan huru hara berlaku, ia akan mengambil masa yang panjang
untuk memulihkan keamanan negara.
Beliau berkata Malaysia sebuah negara demokrasi dan mempunyai saluran
tertentu untuk semua pihak menyuarakan pandangan tanpa perlu melakukan
perbuatan yang boleh menjejaskan keamanan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.