Anggota keselamatan yang ditugaskan kumpulan reformasi pilihan raya penganjur perhimpunan itu terus memperketat pegangan mereka kepada pengadang itu.
Kejadian itu hanya berakhir selepas Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah datang menenangkan keadaan. Bagaimanapun, tidak diketahui apa yang beliau katakan kepada kumpulan yang cuba bertindak kasar tersebut.
Kemudian, Maria berkata, beliau gembira dengan kehadiran dan jumlah yang diraih Bersih setakat ini.
"Dalam masa tak sampai sebulan kami berjaya mengumpul RM2.4 juta.
"Ia menunjukkan rakyat menyokong kami dan tuntutan Bersih diterima semua," katanya.
Maria juga berkata beliau berpuas hati dengan sokongan pihak polis dalam memastikan perhimpunan itu berjalan lancar.
"Kami sangat gembira dengan pihak polis," katanya.
Sementara itu, bekas pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan berkata penganjur merindui kepimpinan PAS dalam perhimpunan hari ini, yang menyaksikan kira-kira 50,000 orang berkumpul di beberapa lokasi di Kuala Lumpur.
Pemimpin PAS tidak menyertai perhimpunan itu, susulan daripada putusnya hubungan mereka dengan DAP baru-baru ini. Parti Islam itu sebelum ini mempersoalkan tarikh perhimpunan itu diadakan hanya 2 hari sebelum sambutan Hari Kebangsaan, dan berkata ia merancang mengadakan perhimpunan sendiri minggu depan.
Perhimpunan Bersih 4 yang turut diadakan di Kuching dan Kota Kinabalu mendesak perubahan institusi terutama membabitkan skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang turut berkait dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Sementara itu, perhimpunan Bersih 4 Sabah menunjukkan jumlah kehadiran tidak dijangka dengan ribuan peserta kini memenuhi Taman Teluk Likas Dua di Kota Kinabalu, menambah kepada kira-kira 50,000 orang yang berkumpul di beberapa lokasi di Kuala Lumpur. Bercakap kepada khalayak, Ketua Bersih 2.0 Sabah Jannie Lasimbang berkata negeri itu dipaksa menerima penipuan pilihan raya, yang menjadi fokus utama desakan perhimpunan Bersih untuk perubahan dalam pilihan raya umum.
Di Kuala Lumpur, awal tengah hari tadi, Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah mengetuai ribuan penunjuk perasaan yang berkumpul di Pasar Seni di pusat bandar, bergerak menuju ke arah Dataran Merdeka, lokasi yang akan menjadi tumpuan perhimpunan Bersih 4 hari ini.
Terdahulu, Maria, yang diiringi Setiausaha Gerakan Harapan Baru (GHB) Dr Dzulkefly Ahmad dan pemimpin masyarakat sivil yang lain, memberi ucapan di luar Pasar Seni sebelum memulakan perarakan mereka.
Pemimpin pembangkang terkemuka lain, termasuk Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dan Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke kini tiba di pelbagai lokasi pertemuan.
Sementara itu, bekas pengerusi Bersih Datuk S Ambiga Sreenevasan berada di Nu Sentral di Brickfields.
Sejak pagi ini, ratusan anggota polis mengambil kedudukan di kawasan sekitar Dataran Merdeka, menggesa orang ramai menjauhkan diri dari kawasan itu.
Pihak penganjur sendiri mengingatkan peserta perhimpunan agar tidak memasuki Dataran Merdeka memandangkan perhimpunan mereka itu hanya akan diadakan di luar dataran bersejarah itu.
Polis memasang penghadang di sekitar Dataran Merdeka dengan puluhan anggota polis mengendalikan semua jalan menuju ke lokasi itu yang akan menjadi tempat kejadian sambutan Hari Merdeka tahun ini pada hari Isnin.
Sekatan jalan raya juga mula dipasang di sepanjang jalan-jalan utama menghala ke Kuala Lumpur, termasuk di Lebuhraya Lembah Klang Utara sebelum keluar ke Subang, Lebuhraya Kesas di hadapan Proton, Bulatan Batu Caves dan Jalan Sungei Besi.
Bersih 2.0, yang merupakan penganjur perhimpunan tersebut, menulis di laman Facebook mereka pagi ini, sekatan jalan raya yang dipasang "hanya untuk raptai Hari Merdeka" dan meminta semua bertenang.
Penganjur sebelum ini mengingatkan peserta perhimpunan agar tidak memasuki Dataran Merdeka dan tidak membawa anak-anak mereka bersama.
Mereka akan berkumpul di Dataran Maybank di Pudu, Pasar Seni, Masjid Negara, pusat membeli belah Sogo dan Brickfields.
Mereka kemudiannya akan berarak ke arah Dataran Merdeka.
Awal minggu ini, Panglima Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dipetik sebagai berkata, pihak tentera bersedia untuk campur tangan dalam perhimpunan 34 jam hujung minggu ini jika kerajaan mengisytiharkan darurat, mencetuskan kebimbangan keganasan akan berlaku.
Putrajaya semalam mengumumkan pengharaman pakaian kuning serta logo Bersih 4, beberapa hari selepas menyekat akses kepada laman web Bersih serta beberapa laman web lain yang dilihat menggalakkan atau berkongsi maklumat tentang perhimpunan itu. Bagaimanapun, kemeja-T Bersih 4 dilihat dijual secara terbuka di beberapa tempat termasuk di hadapan Masjid Negara.
Pihak polis beberapa kali memberi amaran yang tindakan akan diambil terhadap penganjur, Bersih 2.0, mengatakan yang perhimpunan tersebut tidak sah di sisi undang-undang dan mereka gagal mendapatkan permit yang sepatutnya.
Para peguam bagaimanapun, mengatakan yang hak untuk berhimpun secara aman adalah dijamin, dan polis tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk menghentikan perhimpunan tersebut.
Walaupun dengan tindakan ugutan yang akan diambil, kumpulan rakyat Malaysia pelbagai kaum awal pagi ini semakin ramai di kawasan itu.
Lawyers for Liberty dan Majlis Peguam berkata, mereka akan menyediakan bantuan guaman kepada peserta perhimpunan yang ditahan dalam protes hujung minggu ini.
Pada Rabu, majlis kebangsaan antara agama merayu kepada semua rumah ibadat di Kuala Lumpur agar membuka pintu mereka kepada perhimpunan peserta.
Tiga gereja Katolik di tengah-tengah bandar sebelum ini mengesahkan mereka akan memberi perlindungan kepada para penunjuk perasaan.
Perhimpunan Bersih 4 juga akan diadakan serentak di Kota Kinabalu, Sabah dan Kuching, Sarawak. Ia juga akan diadakan di 70 bandar di seluruh dunia.
IKUTI LINTAS LANGSUNG LAPORAN TERKINI DI SINI
9.59pm: Ada peserta mula memasang khemah untuk bermalam di Jalan Raja, berhampiran Dataran Merdeka.
9.47pm: Kumpulan muzik BangsArt mula membuat persembahan.
9.40pm: Paluan gendang dengan sorakan Bersih mengalu-alukan ucapan daripada aktivis Adam Adli.
“Kami akan jaga negara ini untuk kamu semua. Untuk anak-anak kami, kami janjikan masa depan yang lebih baik daripada kami. Kita rakyat Malaysia tidak boleh berdiam diri. Kita hanya akan berhenti berjuang apabila berjaya capai kemenangan.”
9.37pm: Maria Chin ucap terima kasih kepada Dr Mahathir kerana datang ke Dataran Merdeka.
“Terima kasih kerana datang. Kami jemput semua dan harap lebih ramai orang daripada Umno menyertai kami kerana ini adalah desakan negara untuk perubahan.”
9.17pm: Gurmit Kaur, balu Karpal Singh juga berucap di depan khalayak. “Saya isteri Karpal. Saya tahu semangatnya bersama kita. Hidup mesti diteruskan. Gurmit juga melaungkan “Bersih” 3 kali.
9.05pm: Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah berkata peserta himpunan itu mencipta sejarah hari ini dengan keberanian mereka di Dataran Merdeka.
“Hari ini ada 200,000 orang. Terima kasih kepada anda. Dana yang diperoleh sudah RM2.4 juta.”
Maria berkata ada 2 mesej hendak disampaikan iaitu reformasi institusi dan undi tidak percaya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan dibuat di Parlimen pada Oktober ini.
8.56pm: Sukarelawan dan anggota keselamatan Bersih 4 berjaga-jaga susulan khabar angin ada kumpulan yang mahu mencetuskan kekecohan dan cuba memecahkan pengadang dan masuk ke Dataran Merdeka.
8.55pm: Ada peserta yang mula memasang khemah di Jalan Tun Perak.
8.42pm: Peserta meminta orang ramai beri mereka ruang untuk menunaikan solat hajat di kawasan berhampiran Dataran Merdeka.
8.49pm: Bunyi vuvuzela disenyapkan ketika solat hajat berlangsung berhampiran Dataran Merdeka.
8.30pm: Aunty Bersih kelihatan di pintu pagar gereja St John menyambut orang ramai masuk ke dalam untuk berehat dan bermalam.
7.30pm: Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di Dataran Merdeka, ditemani isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.
6.55pm: Peserta perhimpunan berkumpul semula di persimpangan berhampiran bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di Jalan Raja Laut untuk mendengar ucapan pemimpin. Ahli Parlimen Batu Tian Chua sedang berucap di depan khalayak.
6.50pm: Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah menggesa peserta untuk tidak masuk ke kawasan Dataran Merdeka, yang sudah dikepung. Program berikutnya ialah pada 9 malam.
Aktivis Hishamuddin Rais menggesa mereka yang datang tidak membuat perkara bodoh. Beliau memberitahu peserta untuk relaks, bersenang-senang dan duduk kerana mereka mempunyai 30 jam lagi untuk protes. Peserta membalas dengan jeritan “Bersih”. Hishamuddin juga memberitahu orang ramai Jalan Tuanku Abdul Rahman ialah “hotel” mereka.
6.21pm: Di KOTA KINABALU, beberapa peserta Bersih turut membersihkan kawasan pantai.
6.20pm: Ratusan peserta perhimpunan menyanyikan lagu "Negaraku" sambil berdiri menghadap Dataran Merdeka.
6.15pm: Walaupun ramai peserta sedang berehat, beberapa orang masih meniup vuvuzela dan melaungkan "Bersih" di pengadang di Dataran Merdeka.
6.12pm: Di KOTA KINABALU, penganjur Bersih Sabah membentangkan alas plastik di sepanjang pantai Teluk Likas untuk peserta perhimpunan menyaksikan matahari terbenam.
6.00pm: Ramai peserta mula berehat di tepi jalan. Juruhebah berkata perhimpunan itu disertai 200,000 orang.
5.13pm: Dr Wan Azizah meninggalkan Dataran Merdeka tetapi berkata akan datang semula selepas solat Maghrib.
5.05pm: Bekas pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan berkata penganjur perhimpunan merindui penyertaan pemimpin PAS yang tidak menyertai Bersih 4 hari ini.
4.59pm: Juruhebah di Dataran Merdeka menggesa khalayak untuk bertahan dan bersabar. Dr Wan Azizah tiba di Dataran Merdeka dari Sogo.
4.31pm: Ada antara peserta mula meninggalkan kawasan perhimpunan.
4.30pm: Di KUCHING, Ahli Dewan Undangan Negeri Pending daripada DAP, Violet Yong dalam ucapannya berkata: "Najib, kami mahu anda berundur."
4.10pm: "1MDB menyebabkan ringgit kita jatuh, dolar Singapura naik. Kita tak boleh pergi Amerika, Singapura. Ke mana kita boleh pergi? Kita kena pastikan sebuah Malaysia yang baharu untuk anak-anak kita. Kita mahukan Malaysia yang bersih," kata Guan Eng kepada orang ramai yang menuju Dataran Merdeka.
4.00pm: Orang ramai duduk di persimpangan antara Jalan Raja dan Jalan Raja Laut, dihiburkan oleh persembahan kumpulan BangsaArt.
3.57pm: Sorakan kuat kedengaran ketika lori yang membawa pemimpin DAP Lim Guan Eng melalui stesen LRT Masjid Jamek dalam perjalanan ke Dataran Merdeka. Peserta perhimpunan menyanyikan "Hidup rakyat" dan meniup vuvuzela.
3.55pm: Mereka yang berhimpun di Kuching datang dari Simunjan, Betong, Bintulu, Sibu dan Miri.
3.52pm: Peserta perhimpunan di Jalan Tun Perak dianggarkan lebih 10,000 orang. Ramai yang bersorak ketika Ahli Parlimen Kuala Krai Dr Mohd Hatta Ramli berucap.
3.50pm: Peserta Bersih 4 berkumpul di belakang pengadang dekat Dataran Merdeka. Di depan mereka, barisan anggota polis dan pertahanan awam. 3.45pm: Awang Ahmad Awang Ali, ahli jawatankuasa pemandu Bersih di Kuching berkata, perhimpunan kelima akan diadakan di Padang Merdeka sekiranya tiada usaha dibuat untuk pilihan raya yang adil pada masa akan datang.
3.43pm: Di KOTA KINABALU, Pengerusi Bersih Sabah Jannie Lasimbang berkata negeri itu menderita paling teruk akibat pilihan raya yang kotor.
3.40pm: Nurul Izzah, Dr Wan Azizah, Khalid Samad dan Lim Kit Siang tiba di Dataran Merdeka, menunggu Maria Chin menyertai mereka.
3.35pm: Di KUCHING, 12 orang akan berucap, setiap orang diberi 5 minit.
3.34pm: Ibu pejabat DBKL dikelilingi peserta Bersih 4.
3.30pm: Orang ramai dari Masjid Negara tiba di Dataran Merdeka.
3.21pm: Di KOTA KINABALU, kira-kira 3,000 orang ke Taman Teluk Likas Dua, lebih ramai daripada jangkaan penganjur.
3.13: "Kami bukan mahu gulingkan kerajaan, kami hanya mahu gulingkan ahli politik yang korup," kata Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah di Jalan Tun Perak, ketika peserta perhimpunan makin menghampiri Dataran Merdeka.
3.10pm: Pemimpin PKR Rafizi Ramli di Sogo berkata:"Kita akan terus berada di Dataran Merdeka sehingga 12 tengah malam 31 Ogos malam esok. Saya minta ramai-ramai kekal di situ sampai malam esok. Insya-Allah ini kali terakhir kita lakukan Bersih selagi mana Najib masih PM."
3.06pm: Di KOTA KINABALU, peserta Bersih Sabah mula bergerak sepanjang jalan pantai Tun Fuad Stephens menuju kawasan perhimpunan.
3.05pm: Kira-kira 4,000 orang di padang Song Kheng Hai di Kuching.
3.02pm: Pasukan kawalan perhimpunan DAP memakai kemeja-T merah untuk menemani peserta ke Dataran Merdeka. 3.00pm: Mat Sabu PAS mengingatkan peserta supaya mengambil masa. "Nanti bergerak perlahan-lahan sebab ada masa 33 jam. Jangan masuk padang Dataran Merdeka kerana kerusi dah diatur untuk sambut Merdeka. Kita dah buat berkali-kali. Yang langgar masuk bukan orang kita. Buat penuh disiplin sampai 12 tengah malam esok."
2.55pm: "Polis masih belum ambil tindakan. Mereka sedang mengendalikan keselamatan dan trafik. Sukarelawan Bersih juga nekad mempertahankan penghadang. Mereka tidak dibenarkan menaikkan khemah seperti yang dipersetujui dengan Dewan Bandaraya. Bagaimanapun, mereka akan berada di sana semalaman tanpa berkhemah," kata Pesuruhjaya Suhakam James Nayagam yang menemui Ketua Polis Dang Wangi ACP Zainol Samah di Dataran Merdeka.
2.52pm: Himpunan dari Brickfields, Dataran Maybank di Pudu dan Masjid Negara berarak ke Dataran Merdeka.
2.50pm: Mereka yang tiba awal di perkarangan Song Kheng Hai di Kuching menandatangani petisyen untuk pilihan raya telus dan adil.
2.49pm: Kumpulan kedua di Brickfields berarak ke Dataran Merdeka.
2.45pm: Dr Wan Azizah di Sogo: "Hari ini kita bersama rakyat Malaysia. Saya berbangga dan berterimakasih kerana orang ramai begitu berani. Walaupun kita tidak dibenarkan memakai kuning, kami tetap lakukannya. Kami terus berjuang untuk membebaskan Anwar Ibrahim."
2.44pm: "Bukan sahaja Melayu, tetapi rakyat Malaysia semua berkumpul di sini," kata bekas timbalan presiden PAS Mohamad Sabu di Masjid Negara.
2.38pm: Pemimpin mengambil giliran untuk bercakap kepada peserta perhimpunan sebelum perarakan dari Petaling Street ke Puduraya.
2.35pm: Di KOTA KINABALU, 200 peserta perhimpunan di Taman Awam Teluk Likas 1 melaungkan "Bersih" dan bersedia untuk berarak ke taman kedua.
2.30pm: "Saya terharu hari ini, rakyat Malaysia tidak kira Melayu, Cina, India, Dusun, Kadazan, atau Dayak semua di Kuala Lumpur bersama-sama... semalam kerajaan mengumumkan kemeja-T kuning Bersih diharamkan. Sekiranya BN terus menjadi kerajaan, mereka akan tentukan warna pakaian kami juga," kata Ahli Parlimen Rasah Teo Kok Seong.
2.28pm: Kira-kira 4,000 orang mula berarak dari Brickfields.
2.27pm: Di KUCHING, seruan "Turun Najib, Hidup Bersih" kedengaran di Taman Sri Sarawak Mall.
2.25pm: Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad di Dataran Merdeka.
2.22pm: Pemerhati dan sukarelawan Bersih cuba mengawal orang ramai dari memasuki kawasan Dataran Merdeka. Seorang didengar berkata: "Tolong, kita jangan cipta masalah."
2.11pm: Veteran DAP Lim Kit Siang bercakap kepada himpunan di Masjid Negara di atas lori. "Kami berkumpul kerana sayangkan negara. Kami mahukan kerajaan yang telus dan bersih."
2.10pm: Kira-kira 3,000 peserta menyanyi lagi Negaraku dipimpin koordinator PKR Jingga 13, Fariz Musa.
2.06pm: Abdul Aziz Isa, pembantu kepada ahli Parlimen Kuching Chong Chieng Jen, berkata kehadiran Melayu di perhimpunan hari ini "melangkaui jangkaan".
2.05pm: Perhimpunan di Dataran Merdeka mencecah 1,000.
2.02pm: Unit pemantau keselamatan perhimpunan, Skuad PKR Malaysia di kawasan Sogo.
2.00pm: Peserta perhimpunan Azura Aziz, 40, dari Ampang yang berada di Dataran Maybank di Pudu, berkata tidak takut ditahan walaupun kerajaan mengisytiharkan Bersih 4 haram. "Siapa kisah? Saya ingin reformasi bagi seluruh sistem, undang-undang, pendidikan, semuanya. Seluruh sistem negara kita sudah mati."
1.55pm: Himpunan di Sogo bersedua untuk berarak ke Dataran Merdeka.
1.52pm: Kira-kira 50 orang yang menggelar diri mereka "Otai Reformasi" berarak ke Sogo.
1.50pm: Nu Sentral di Brickfields menjadi hab aktivis dan wartawan dengan himpunan menunggu perarakan ke Dataran Merdeka.
1.49pm: Di KUCHING, penyokong DAP di pusat beli belah Taman Sri Sarawak, berdekatan dengan Kuching. Penyokong DAP berkumpul di kedai kopi di hadapan Hotel Hilton sebelum berarak ke padang ragbi Song Keng Hai.
1.46pm: Di KOTA KINABALU: "Saya ingin tunjukan kepada rakyat Sabah tiada apa yang salah dengan meluahkan tuntutan anda," kata peserta Harieyadi Karmin.
1.44pm: Aktivis Hishammudin Rais menyertai perhimpunan di Brickfields.
1.43pm: Bersih menggantung penghadang di Dataran Merdeka, berterima kasih kepada peserta kerana tidak memasuki kawasan tersebut.
1.40pm: Kumpulan anti-Lynas juga berada di Dataran Maybank di Pudu.
1.35pm: 200 peserta dari kumpulan yang menggelarkan diri mereka Johor Yellow Flame, mula memenuhi perkarangan Masjid Negara.
1.33pm: Timbalan Pengerusi Bersih 2.0 Sarajun Hoda Abdul Hassan di Dataran Maybank di Pudu. "Kehadiran sangat menggalakkan, kami tidak rasa dapat mendekati Dataran tetapi akan cuba dekat. Tidak akan menggangu sambutan Merdeka."
1.28pm: Di KOTA KINABALU, peserta solat bersama di tepi pantai di Taman Teluk Gaya 1.
1.27pm: Ahli Parlimen Kapar PKR G. Manivannan dan bekas ahli Parlimen Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menyertai peserta di Brickfields.
1.24pm: Satu pasukan perubatan ditempatkan di Dataran Merdeka dengan 30 anggota bertugas, dan bekerja 4 syif sepanjang perarakan. Terdapat 236 anggota perubatan di pelbagai pusat pertemuan.
1.22pm: Anggaran 3,000 orang di Dataran Maybank di Pudu. Sebelum ini, badan hak kebangsaan Suhakam dianggarkan sejumlah 10,000 setakat 10am.
1.21pm: Kira-kira 2,000 dianggarkan di Brickfields, berpecah kepada kumpulan-kumpulan kecil.
1.20pm: Polis mengarahkan peserta supaya mengelak dari Dataran Merdeka.
1.19pm: Peguam dan aktivis Eric Paulsen juga hadir di Sogo, disertai Ahli Parlimen Batu, Tian Chua.
1.18pm: Himpunan di Brickfields melaung, "Tangkap Najib", "Hidup Bersih" dan "Reformasi".
1.16pm: Peserta Bersih 4 mengerjakan solat Zuhur di atas sebuah kain rentang besar di luar Sogo. Botol air mineral diedar untuk berwuduk.
1.14pm: "Ini baru bermula. Jangan harapkan hasil yang segera tetapi ia permulaan kepada komitmen rakyat untuk kerajaan yang telus," kata Rajendra Ramasamy di Brickfields.
1.12pm: Presiden Majlis Peguam Steven Thiru bersama beberapa peguam dilihat berdekatan Masjid Negara.
1.08pm: Sekumpulan anggota polis bergerak dari Dataran Merdeka menuju ke arah Sogo.
1.05pm: Sepanduk gergasi berukuran 18 X 25 kaki kelihatan di depan Sogo.
1.04pm: Ahli Parlimen Ipoh Barat M. Kulasegaran menyertai perhimpunan berjalan dari Brickfields ke Dataran Merdeka.
1.00pm: Ratusan orang di Dataran Maybank di mula berarak ke arah Masjid Jamek.
12.59pm: Di KOTA KINABALU, ahli parlimen DAP Jimmy Wong memasang khemah di Taman Teluk Likas 1. Menunggu kehadiran lebih ramai orang.
12.57pm: Hindraf, PSM menyertai perhimpunan di Brickfields.
12.54pm: Dianggarkan lebih 1,000 peserta di luar Sogo. Keadaan mula riuh rendah dengan tiupan vuvuzela dan sorakan "Bersih!" dari mereka yang majoriti berbaju kuning.
12.52pm: "Saya rasa kita semua hendakkan negara yang lebih baik. Terlalu banyak yang salah di negara ini dan kami mahu tunjukkan yang kami mahu sesuatu yang lebih baik," kata Suzan Manan di Nu Sentral, Brickfields.
12.50pm: "Jika kami tunggu seseorang untuk berdiri, kami akan tunggu selama-lamanya Kita perlu jadi sebahagian usaha membina Malaysia baru," kata Azrul Khalid di Nu Sentral.
12.49pm: Peserta di Dataran Merdeka dianggarkan lebih kurang 400 orang.
12.46pm: Kira-kira 2,000 orang dianggarkan berada di Dataran Maybank di Pudu. Michael, 26, dari Kepong memberikan roti dan air mineral percuma kepada peserta. Beliau dan beberapa rakannya membawa lebih kurang 500 roti untuk diedarkan.
12.45pm: Petisyen untuk mendapatkan satu juta tandatangan supaya Anwar dibebaskan diedarkan kepada peserta di Sogo.
12.44pm: Kumpulan berdekatan dengan Dataran Merdeka dianggarkan 200 orang.
12.42pm: Zhongqi, 27, dari Cheras membawa bunga matahari sebagai simbol harapan bagi masa depan lebih baik. Dua lori polis melepasi Dataran Maybank di Pudu dengan beberapa anggota polis menunjukkan simbol 'peace' ke peserta perhimpunan.
12.40pm: Himpunan di Brickfields semakin ramai, 1,000 orang ramai di luar Nu Sentral melaungkan "Bersih bersih!"
12.34pm: Pemandu basikal berpakaian kemeja-T Bersih di kawasan Sogo.
12.31pm: Belon kuning dengan perkataan "Media Bebas" diedarkan kepada himpunan di Sogo.
12.30pm: Peserta perhimpunan di Sogo melambaikan bendera Bersih 4 menggunakan rod pancing sebagai tiang.
12.27pm: Aktivis Adam Adli datang menyertai perarakan di Pasar Seni.
12.25pm: Ada yang menyandang beg kanvas tertulis "Perdana menteri saya memalukan saya."
12.22pm: "Suasana pesta di Lebuh Ampang sekarang. Semua orang seperti bersuka ria. Saya harap ia kekal begini," kata seorang peserta.
12.20pm: Peserta memegang kertas rentang tertulis #BebasAnwar sementara melaungkan "Bersih" sambil meniup vuvuzela.
12.18pm: Sekumpulan penyelidik Malaysia dari Netherlandsdi NuSentral di Brickfields datang memerhati Bersih sebagai sebahagian penyelidikan mereka.
12.17pm: Dekat Masjid Negara, kemeja-T Bersih dijual pada harga RM12.
12.15pm: Kira-kira 500 orang berkumpul di depan Sogo, ramai lagi sedang berjalan.
12.14pm: 300 Orang Asal menyertai perarakan dari Gereja Fatima di Brickfields.
12.13pm: Kira-kira 20 orang memakai kemeja-T Bersih dan Gerakan Harapan Baru di Dataran Masjid Negara.
12.10pm: Di Dataran Merdeka: "Kami di sini untuk Malaysia dan generasi akan datang yang akan mewarisi negara ini. Kami bukan di sini untuk membuat huru-hara. Kami datang sini dengan aman," kata seorang peserta dari Pelabuhan Klang.
12.02pm: Naib presiden dan setiausaha agung PKR Rafizi Ramli tiba di Sogo disambut tepukan gemuruh dari peserta Bersih 4 yang mengatakan "Ini baru 1Malaysia".
12.01pm: Di Dataran Maybank, kira-kira 700 orang beratur di tepi jalan raya, melagukan "Bersih" dan meniup "vuvuzela". Ada yang mengibarkan bendera Jalur Gemilang. Keadaan lalulintas masih normal.
12pm: Penghadang dipasang di hadapan ibu pejabat Majlis Peguam di Leboh Pasar Besar.
11.59am: Di KUCHING, keadaan masih sunyi. Beberapa orang dilihat memasang khemah di padang ragbi Song Cheng Hai. Ramai anggota polis kelihatan.
11.58am: Peserta Bersih berkumpul di hadapan bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, 100 meter dari Dataran Merdeka.
11.55am: Enam lori Unit Simpanan Persekutuan, termasuk meriam air, memasuki Dataran Merdeka.
11.46am: Di KOTA KINABALU, keadaan masih sunyi di Taman Awam Teluk Likas 2. Beberapa orang anggota polis kelihatan. Tidak kelihatan sesiapa dengan kemeja-T kuning.
11.44am: Dua lelaki dilihat memakai kemeja-T tertulis "2.6 billion" di Brickfields.
11.40am: Raptai Hari Merdeka di Dataran Merdeka selesai. Lebih ramai polis dan anjing unit K9 tiba di Dataran.
11.38am: Di Dataran Maybank, peserta perhimpunan mula melagukan "bersih" walaupun tiada pemimpin kelihatan. Kenderaan yang lalu lalang membunyikan hon tanda sokongan.
11.34am: Sebuah kumpulan menyanyikan lagu "Suara Rakyat" dan melaungkan "bangkit rakyat".
11.30am: Kira-kira 50 orang berkumpul di Church of Our Lady of Fatima di Brickfields, menunggu untuk berarak ke tengah bandaraya. Bekas menteri besar Perak Datuk Seri Nizar Jamaluddin dijangka menyertai mereka. Kumpulan ini dijangka diketuai Jerit dan Pusat Komas.
11.21am: Kira-kira 400 peserta perhimpunan berkumpul di Pasar Seni.
11.17am: Kira-kira 100 orang memakai kemeja-T kuning Bersih 4 mula berkumpul depan Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman sementara 200 lagi di Dataran Maybank di Pudu.
http://distributorbesibaja.co.id/ Jual Besi Baja | Toko Besi Baja | Distributor Besi Baja | Toko Besi Baja Industri | Wiremes| Besi Beton I Bahan Bangunan | Harga Bahan Bangunan | Steel | Material | Plat Besi | Besi Siku | Baja Profil | Baja IWF | Toko Bangunan Online | Jual Wiremeh | Jual Bondek | Harga Wiremesh | Harga Besi Beton | Harga Besi | Harga Besi Online | Harga Besi Kanal Cnp | Ukuran Besi Cnp | Jual Besi Cnp Murah | Harga Besi Unp | Ukuran Besi Unp | Jual Besi Unp Murah | Harga Besi Siku | Ukuran Besi Siku | Jual Besi Siku Murah |Harga Besi Wf |Ukuran Besi Wf | Jual Besi Wf Murah | supplier besi Hbeam | Wiremesh Murah | Wiremesh Jakarta | Wiremesh Top Mesh | Wiremesh Distributor Jakarta | Harga Bondek Per Lembar | Harga Bondek Per M2 | Harga Bondek Per Meter |Harga Bondek Per Meter Persegi
BalasPadam