BATU CAVES: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata
sebarang tindakan disiplin perlulah melalui saluran yang betul.
Beliau berkata demikian merujuk kepada kenyataan Ahli Majlis Tertinggi
(MT) Umno, Datuk Ab Aziz Kaprawi yang menyuarakan kemungkinan bahawa Tan
Sri Muhyiddin Yassin akan dikenakan tindakan itu selepas 'pendedahan'
isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Malah Menteri Pertahanan itu juga menyifatkan kenyataan Aziz itu
sebagai pandangan peribadi semata-mata dan tidak menggambarkan pandangan
semua ahli MT.
"Itu pandangan peribadi dia (Kaprawi). Itu tidak menggambarkan
pandangan saya dan ahli MT yang lain. Itu juga mungkin bukan pandangan
Lembaga Disiplin.
"Kita ada saluran yang betul, kalau Lembaga Disiplin nak ambil tindakan
sekalipun, mestilah kena melalui saluran yang betul," ujar Hishammuddin
pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian
Batu di Kompleks Darul Kifayah di sini, hari ini.
Tambah Hishammuddin, berkemungkinan Jawatankuasa Disiplin tidak akan terikat kepada pandangan MT.
"Mungkin (Jawatankuasa Disiplin) ada pandangan yang lain. Kita serahlah
kepada pihak-pihak yang bertanggungjawab," ujar Hishammuddin.
Terdahulu, Aziz berkata Muhyiddin berkemungkinan berhadapan dengan
tindakan disiplin selepas tersebarnya video yang mendedahkan
kenyataannya mengenai pemindahan wang RM2.6 bilion ke dalam akaun
peribadi Perdana Menteri.
"Dia reveal maklumat tidak sahih kepada pembangkang. Ia berlaku dalam
rumah dia. Seolah diatur kecuali ia berlaku luar rumah," petik kata
Aziz.
Sementara itu Hishamuddin yang ditanya berkenaan pandangan peribadi
beliau terhadap kenyataan Muhyiddin dalam video berkenaan bagaimanapun
enggan mengulas lanjut.
"Saya (sebahagian) ahli (Jawatankuasa) Pengurusan, dan biarlah saya bincang dengan (Jawatankuasa) Pengurusan," ujarnya ringkas.
Terbaru, video pendek berdurasi 57 saat yang dimuat naik di portal
berita Malaysiakini menunjukkan, Muhyiddin sedang berbual dengan
beberapa tetamu antaranya Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz
Mahathir dan Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir di kediamannya selepas
digugurkan dari Kabinet, Selasa lalu.
Dalam perbualan mereka itu, Muhyiddin dilaporkan menyebut Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pernah mengakui kepadanya bahawa
terdapat sejumlah besar wang dipindahkan ke akaun peribadinya.
Lebih penting http://goo.gl/960NRH
BalasPadam