Sumbangan dari negara Timur Tengah itu ibarat saudara yang mahu melihat UMNO menang pilihan raya.
KUALA LUMPUR : Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mempertahankan kemasukan wang derma RM2.6 billion ke akaun peribadi Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu berkata, sumbangan derma itu lebih telus jika dimasukkan ke dalam akaun bank berbanding diberi secara tunai.
“Lebih telus masuk akaun bank berbanding wang tunai yang dikeluarkan sikit-sikit,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pengisytiharan Warisan Kebangsaan kali keempat di Muzium Negara pada Selasa.
Nazri berkata, Perdana Menteri menjadi mangsa pelbagai tuduhan dan ‘double standard’ berhubung derma RM2.6 bilion tersebut.
Menurutnya, tuduhan terhadap Perdana Menteri tidak adil kerana sumbangan derma itu tidak menyalahi undang-undang.
“Bagi derma tidak jadi salah jika kita mendaftar. Saya sokong sekiranya kita ada undang-undang yang siapa menderma kepada parti dan daftar nama mereka,” tegasnya.
Tambahnya, pemberian derma daripada Timur Tengah itu juga tidak akan mempengaruhi negara ini berbanding jika Amerika Syarikat yang menderma.
“Sebab derma yang diberikan kepada kita dari negara yang mesra dan negara yang tidak kuat seperti Amerika Syarikat yang boleh mempengaruhi kita.
“Ia seperti saudara yang mahu melihat sesebuah parti memenangi pilihan raya umum, tidak ada undang-undang berhubung sumbangan itu tapi mesti berhati-hati supaya tidak ada unsur rasuah,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.