[ULASAN] Menghairankan-kah
apabila mantan perdana menteri, Tun Mahathir Mohamad tiba-tiba muncul
memberi sokongan kepada Perhimpunan haram Bersih 4 menjelang maghrib
Sabtu, 29 Ogos lalu?
Bagaimanakah seorang pemimpin yang garang dan bengis terhadap
demonstrasi jalanan yang dianjurkan penyokong-penyokong bekas
timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak 1998 lalu boleh menyokong
demonstrasi seperti Bersih?
Mengapakah
selepas 17 tahun Mahathir beralih pandangan dan mengakui bahawa
demonstrasi jalanan sebenarnya adalah kuasa rakyat yang “sah” dan
“halal” di segi semangatnya untuk menentang kezaliman dan salahguna
kuasa?
Bagi pengamat lagak dan silat politik Mahathir, tindakannya itu
bukanlah sesuatu yang memeranjatkan. Itu memang cara Mahathir
berpolitik. Beliau berani menongkah arus dan mengubah haluan politiknya
demi terus menjadi ketua.
Ketika melalui jalan paling kelamnya dalam politiknya apabila “tersalah
langkah” dan “menghukum” Anwar kerana tidak mahu tunduk pada
pemikirannya, Mahathir bingkas menjalin hubungan politik dengan entiti
politik lain.
Meskipun terpaksa mengalami banyak tohmahan dan kebencian dari kalangan
orang Melayu yang bersimpati dengan nasib politik Anwar, Mahathir cepat
menjalin hubungan lebih mesra dengan kelompok politik bukan Melayu.
Sungguhpun “berasa pedih” akan hukuman orang Melayu terhadapnya dalam
pilihanraya umum 1999, di mana Umno pimpinannya kecundang di Kelantan
dan Terengganu dan hampir rebah di Kedah, Mahathir terus cenderung
mendapatkan sokongan bukan Melayu.
Yang utama, beliau memperkenalkan sistem Pembelajaran dan Pengajaran
Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Ini adalah hadiah
kemenangan terbesar bagi bukan Melayu yang masih terus kekok dan Bahasa
Malaysia.
Malah langkah ini dilihat amat pragmatik kerana ibubapa murid bukan
Melayu sentiasa yakin bahawa nilai ekonomi bahasa Inggeris adalah lebih
di mata antarabangsa.
Kebetulan
pejuang tegar memartabatkan bahasa Melayu ialah Anwar. Mahathir tidak
lupabahawa Anwar dan kawan-kawannya pernah mengusung keranda
melambangkan kematian Bahasa Melayu kerana bahasa Inggeris lebih
diutamakan.
Sebagai ahli politik yang tidak kurang gesitnya, apabila berpeluang
menjadi menteri pelajaran di dalam kabinet Mahathir, Anwar mengambil
kesempatan untuk memperkenalkan bahasa dan sebutan baku untuk
mengukuhkan lagi kedudukan bahasa Malaysia itu.
Pengenalan PPSMI adalah ‘bak orang mengantuk disorongkan bantal’ oleh
Mahathir sebagai tanda terima kasih pada bukan Melayu yang tidak
mengikut arus politik orang Melayu menolak kepimpinanya kerana
“menganiayai” Anwar.
Untuk mengukuhkan sokongan rakyat bukan Melayu, dalam proses
persempadanan semula, Mahathir secara langsung atau tidak meracik
kawasan-kawasan undi majoriti Melayu dengan memasukkan banyak kawasan
undi yang mempunyai ramai pengundi bukan Melayu.
Sifir Mahathir ialah, biarlah nanti PAS, parti Melayu alternatif ketika
itu, tidak berterusan memungut kemenangan di kawasan majoriti Melayu
kerana faktor undi bukan Melayu akan menjadi penentu.
Bagaimanapun malang bagi cita-cita Mahathir beliau tidak sempat meraih
kejayaan yang boleh menebus rekod buruk pilihanraya umum terakhir
pimpinannya itu apabila “rasa meluat dan benci” terhadapnya terlalu
meluap.
Pada 2003, Mahathir terpaksa meletakkan jawatan perdana menteri dan menyerahkan kuasa kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Dalam pilihanraya umum ke-11 pada 2004, dalam memimpin pilihanraya
umumnya yang pertama, Abdullah mencatat kemenangan terbesar dalam
sejarah Barisan Nasional.
Rupa-rupanya, rakyat Malaysia tidak kira keturunan dan agama mengambil
peluang PRU ke-11 untuk “meraikan ketiadaan Mahathir” dalam hidup dan
sfera politik mereka dengan memberikan kemenangan besar pada Abdullah.
Namun
jatidiri perjuangan politik Mahathir ialah kegigihan. Tak dapat tanduk
telinga dipulas. Ini telah dipamerkan dalam kembara sunyi dunia
politiknya apabila dipecat dari Umno oleh Tunku Abdul Rahman Putra.
Untuk mendapat platform menyerang Tunku dan dasar-dasar
pemerintahannya, Mahathir sanggup berceramah di atas platform PAS demi
melampiaskan pendirian tidak sehaluannya dengan Tunku.
Kesunyian kerana tidak dipedulikan oleh masyarakat lagi, Mahathir mula
mengorak langkah “memadamkan rekod “cemerlang, terbilang dan gemilang”
Abdullah dengan mempertikai dan menyerang prestasi pemerintahannya.
Begitu kuat serangan Mahathir terhadap pemerintahan Pak Lah sehingga
beliau sanggup mengisytiharkan diri keluar Umno. Akibatnya, lunyailah
wibawa Umno dan BN sehingga pembangkang berjaya merampas pemerintahan
Kelantan, Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor dalam PRU 2008!
Mahathir akhirnya mengakui bahawa beliau telah melakukan kesilapan
memilih seorang yang dianggapnya ‘baik’ untuk menggantinya kerana
‘si-baik’ itu kemudian memilih seorang yang buruk sifat politiknya
sebagai pengganti.
Beliau telah meminta maaf kepada rakyat Malaysia kerana kesilapan ini.
Namun umum tahu bahawa setelah melumpuhkan rekod cemerlang Pak Lah dalam
PRU 2004 Mahathir jugalah “wazir” yang menasihati Pak Lah memilih Najib
sebagai pengganti.
Kini apabila pendekatan pimpinan Najib dilihat tidak cenderung pada
pemikiran dan kesukaannya, anak bekas Perdana Menteri kedua Malaysia itu
dimomokkan sebagai musuh utama Umno, BN dan negara.
Kemuncak kempen terbesar Mahathir agar nadi politik Malaysia mesti
mengikut degup haluan politiknya ialah apabila beliau mengisytiharkan
solidariti dengan Bersih 4 dengan harapan gerakan “kuasa rakyat” ini
dapat menggulingkan ‘Marcos Malaysia’.
Tidak kiralah jika Gerakan Rakyat kali ini tidak lagi dipimpin oleh
orang Melayu dan sebaliknya ditunjangi oleh DAP, yang penting Najib
mesti jatuh.
Mahathir berharap Muhyiddin Yassin, orang yang menitiskan air mati di
bahu Anwar Ibrahim ketika beliau memecatnya 17 tahun dahulu, akan
diangkat sebagai pengganti Najib.
Mungkin Mahathir mencongak jika Muhyiddin yang berani menunjukkan
solidariti perpaduan dengan Anwar boleh “diprogramkan” mengikut pola
pemikirannya, beliau yakin mengulangi kejayaan itu lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.