KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menafikan tindakan keluar beramai-ramai ahlinya untuk menyertai bekas pemimpin utama dalam Gerakan Harapan Baru (GHB) itu melumpuhkan operasi dan gerak kerja parti berteraskan Islam berkenaan.
Sebaliknya beliau menyifatkan polemik tersebut langsung tidak
menjejaskan PAS malahan kemasukan anggota baru lebih besar berbanding
jumlah keluar parti.
"Walaupun ada yang isytihar keluar, letak jawatan dalam PAS dan
sebagainya dari segi parti kita akan terus berjalan seperti biasalah dan
saya lihat kemasukan ahli-ahli baru nampak semakin bertambah.
"Saya rasa tidak sangat menjejaskan parti dengan apa yang berlaku," katanya.
Tuan Ibrahim menambah PAS telah mengambil tindakan segera dengan
mengisi kekosongan jawatankuasa di beberapa kawasan apabila barisan
terdahulu meletakkan jawatan beramai-ramai.
"Tidak (lumpuhkan PAS) sebab yang letak jawatan di peringkat kawasan
kita terus ganti dengan ahli jawatankuasa yang baru dan pentadbiran
kawasan berjalan seperti biasa," katanya.
Beliau mengulas mengenai perkembangan konflik dalaman PAS berikutan
tindakan meletakkan jawatan beramai-ramai ahli jawatankuasa di beberapa
kawasan untuk menyertai GHB.
Dalam perkembangan sebelum ini, beberapa pihak keluar PAS termasuk
bekas Ketua Pemuda PAS Melaka, Jauhar Mohd Dawi yang mengisytiharkan
keluar parti dan menyertai GHB sebelumnya bekas Pesuruhjaya PAS Melaka
Adly Zahari dan Ketua Pemuda PAS Shah Alam Helmi Radzuan, serta 12 orang
anggota jawatankuasanya.
Selain itu, seramai 12 orang terdiri daripada pemimpin dan ahli PAS
kawasan Jelebu termasuk bekas Ketua Pemuda PAS Kawasan Jelebu, Mohd
Faizal Fadli Idrus turut mengambil tindakan sama.
Namun Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menganggap tindakan
sekumpulan ahlinya yang keluar parti itu sebagai satu proses pembersihan
dalam PAS.
Beliau berkata perkembangan itu langsung tidak membimbangkan sebaliknya
optimis dengan tindakan pihak terbabit dan menyifatkan ia adalah
pemutihan yang berlaku secara automatik.
Ditanya mengenai tindakan segera akan diambil terhadap ahli yang
menyertai GHB, Tuan Ibrahim menjelaskan pihaknya telah menerima laporan
daripada PAS negeri serta kawasan dan kini sedang menelitinya.
"Kita sekarang ada menerima laporan daripada kawasan dan negeri, kita
akan teliti tindakan itu dalam masa terdekat terhadap penglibatan
ahli-ahli kita.
"Sebab mereka masih lagi ahli PAS, sama ada mereka GHB atau sebagainya ia bukan sebagai parti politik," katanya.
Beliau juga mengakui PAS berdepan kesukaran untuk mengambil tindakan
terhadap pimpinan GHB selagi ia bergerak atas platform NGO.
"Cuma kita boleh ambil tindakan dalam konteks mempromosi parti lain dan menarik ahli-ahli PAS keluar.
"Itu yang kita akan teliti dan ambil tindakan, insya-Allah," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.