SHAH ALAM: PAS mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak
melakukan rombakan kabinet hari ini sebagai langkah untuk menyelamatkan
diri dan bukan untuk menyelamatkan negara susulan skandal 1Malaysia
Development Berhad (1MDB).
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata,
penyusunan semula kabinet yang menyaksikan beberapa menteri digugurkan
tidak akan menyelesaikan masalah sebaliknya lebih membangkitkan
kemarahan rakyat.
"Suara-suara menentang mungkin boleh disenyapkan di dalam kabinet,
namun ia tetap menjadi persoalan utama yang akhirnya akan mencetuskan
kebangkitan rakyat.
"Ditambah pula dengan isu-isu lain seperti skandal pembelian hartanah
MARA, Tabung Haji, Felda Global Venture (FGV), kenaikan kos sara hidup,
kenaikan tol dan sebagainya.
“Rakyat sebenarnya boleh menjatuhkan hukuman ‘total’ kepada Umno dan
Barisan Nasional di dalam pilihan raya umum akan datang," katanya dalam
satu kenyataan hari ini.
Beliau juga menyifatkan pengguguran beberapa menteri daripada barisan
kabinet, khususnya bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin
Yassin, adalah disebabkan kelantangan mereka membangkitkan persoalan
berlegar di kalangan rakyat berhubung ketelusan pengurusan kewangan
membabitkan wang pembayar cukai.
Najib hari ini mengumumkan rombakan kabinet yang menyaksikan
timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut digugurkan daripada senarai.
Selain Muhyiddin, empat orang menteri lain juga menerima nasib yang sama.
Mereka adalah Datuk Seri G. Palanivel (Menteri Sumber Asli dan Alam
Sekitar); Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Menteri Luar Bandar dan
Wilayah): Datuk Seri Hassan Malek (Menteri Perdagangan dalam Negeri,
Koperasi dan Kepenggunaan) dan Datuk Dr Ewon Ebin (Sains, Teknologi dan
Inovasi).
Najib berkata, rombakan itu dilakukan bagi memperkukuhkan barisan
jemaah Menteri dalam membantu kerajaan menghadapi cabaran menguruskan
negara sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Rombakan tersebut menyaksikan seramai tujuh menteri dan sembilan timbalan menteri baharu dilantik menyertai kabinet.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.