shahbudindotcom
Setelah
didedahkan oleh akhbar The Age berkenaan pembelian apartment Dudley
International House di Melbourne oleh Mara dengan harga lebih mahal
sebanyak RM13.7 yang kemudian dikembalikan dalam bentuk rasuah melalui
sebuah syarikat di Singapura, rupa-rupanya agensi itu juga memiliki tiga
hartanah lain di Australia yang dibeli pada 2013 lalu.
Dalam
keseluruhan empat hartanah yang dibeli oleh Mara melalui unit
pelaburannya yang baru ditubuhkan iaitu Mara Inc Sdn Bhd itu, sejumlah
RM375.4 juta telah dibelanjakan bagi tujuan tersebut.
Sebagaimana
yang didedahkan oleh Rafizi Ramli selaku Pengarah National Oversight
and Whistleblowers atau NOW, selain apartmen di Dudley yang didapati
dibeli dengan harga lebih tinggi, sebuah lagi hartanah yang beli oleh
Mara Inc juga dibelenggu penyakit yang sama.
Beliau mendedahkan, hartanah di 333 Exhibition Street yang dibeli pada Mac 2013 itu didapati dibayar lebih tinggi sebanyak RM27 juta berbanding harga pasaran.
Woww...baru dua hartanah yang didapati dibeli dengan harga lebih mahal. Bagaimana dengan dua yang lain itu?
Pendedahan
ini sekali lagi memburukkan imej agensi tersebut kerana Mara itu
sendiri diambil daripada singkatan nama yang cukup murni dan terpuji
iaitu Majlis Amanah Rakyat yang tentunya menuntut mereka yang berkuasa
harus selalu amanah kepada rakyat dalam setiap sen yang dibelanjakannya.
Dalam
aktiviti hariannya melalui tag amanah kepada rakyat itu, Mara secara
khususnya menumpukan kepada bidang pendidikan, keusahawanan dan
kemahiran bagi melahirkan anak bangsa yang maju dan mampu bersaing
dengan kaum-kaum lain.
Lebih-lebih
lagi dalam konteks pembelian hartanah di Australia, ia adalah untuk
kegunaan pelajar tajaan Mara yang sedang menuntut di sana.
Meskipun
siasatan sedang dijalankan dalam kes sebagaimana yang didedahkan oleh
The Age itu, tetapi pada pandangan umum isu ini amat memalukan sekali
kerana seolah-olah mereka yang mahu mengaut keuntungan secara tidak
halal ini tidak peduli sedikit pun sama ada ia berkaitan pendidikan anak
bangsa atau sebagainya.
Barangkali jika berkaitan masjid sekali pun, kiranya boleh buat wang, tetap akan dilakukan juga.
Berserta
pendedahan The Age dan NOW itu, pihak berkuasa seharusnya melakukan
penyiasatan lebih mendalam untuk membongkar kemungkinan berlakunya
penyelewengan dan unsur-unsur rasuah didalamnya.
Ini adalah ujian kepada SPRM dan sejauh mana kerajaan benar-benar serius mahu menangani rasuah di negara ini.
Tidak
sekadar penyiasatan biasa, sebaliknya siasatan secara forensik sehingga
akar umbi perlu dilakukan untuk menyelongkar dan mendedahkan apa saja
kecurangan yang mungkin berlaku dan seterusnya membawa mereka yang
terbabit ke muka pengadilan.
Belum
kering bibir setiap rakyat membicarakan mengenai pembelian IPP dengan
harga lebih tinggi oleh 1MDB, begitu juga dengan Felda yang membeli
ladang di Indonesia dengan harga lebih mahal daripada pasaran, kini Mara
juga seperti dijangkiti penyakit yang sama.
Lantaran
itu, tiada pilihan selain membiarkan penyiasatan yang bebas dan telus
dilakukan terhadap semua pembelian hartanah Mara ini. Mara harus segera
dibersihkan dan dikembalikan kepada fungsi asalnya yang sebenar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.