Rabu, 1 Julai 2015

Kerajaan Semacam Tak Peka Derita Rakyat



Oleh Abu Hassan Adam 


Kerajaan Malaysia tentulah ada sebab-sebab tertentu mengapa mereka menaikkan harga minyak. Ron 95 naik 10 sen. Ron 97 naik 20 sen. Dan tentulah pihak kerajaan telah begitu bersedia dengan berbagai alasan untuk menaikkan harga minyak. Samada alasan itu alasan yang munasabah atau tidak, kelihatan semacam tidak dipedulikan. Yang pentingnya harga minyak perlu dinaikkan demi untuk ‘kepentingan negara’.

Rakyat Malaysia terpaksa akhur dengan keputusan berkenaan walaupun jauh di sudut hati seluruh rakyat Malaysia merasakan bahawa pemimpin kerjaan kini semacam tidak bertimbangrasa atas nasib yang dideritai oleh rakyat ekoran kenaikan harga minyak ini. Hendak disuarakan penderitaan itu, tentulah tidak ada siapa yang ingin mendengarnya. Tambahan pula ‘siapa kita’ yang boleh mengubah pendirian kerajaan Malaysia yang telah begitu yakin dengan tindakan mereka bahawa kedudukan mereka tidak akan tergugat, walau dengan apa cara sekali pun.

Para pemimpin negara seolah-olah memejamkan mata dan memekakkan telinga apabila muncul suara-suara rakyat yang mengatakan penderitaan rakyat sudah semacam sampai hampir ke kemuncaknya. Rakyat Malaysia yang sentiasa bersabar ini pasti akan terus tersenyum lebar apabila ditanyakan oleh TV atau akhbar dari media perdana tentang kehidupan mereka dengan pengenalan GST. Dan pastinya jawapan dan ‘senyuman’ mereka adalah sama sekiranya ditanyakan tentang kenaikan harga minyak.

Rakyat Malaysia sememangnya ‘hebat’ dari segi menyembunyikan perasaan mereka. Orang Melayu khususnya akan tetap tersenyum walaupun dalam derita. Pergilah ke kampung-kampung masih akan terdengar lagi hilai dan gelak ketawa orang Melayu miskin walaupun sebenarnya mereka hidup seperti ayam kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Para pemimpin negara tahu yang orang Melayu di kampung dan di kawasan Felda tidak akan menentang kerajaan kerana para pemimpin negara kita tahu tentang ‘ubat dan tonik’ yang hendak diberi sekiranya berlaku keadaan demikian.

Bukan sahaja BRIM yang boleh dijadikan ubat dan tonik untuk mententeramkan orang Melayu di kampung ( dan di bandar juga) tetapi kata-kata penawar yang boleh ‘menyejukkan’ hati golongan sedemikian. Bandingkan sahaja penderitaan yang dideritai hari ini dengan keadaan derita orang Melayu pada zaman pemerintahan Jepun misalnya. Pasti hati orang Melayu akan terubat apabila diberikan ‘penawar’ sedemikian. Pasti orang Melayu akan bersetuji yang kerajaan hari ini adalah lebih baik berbanding dengan zaman pemerintahan Jepun.

Sebenarnya keadaan negara kita kini dalam keadaan yang amat ‘perit’. Mungkin para pemimpin negara kita hanya mendengar tentang keperitan yang dialami oleh rakyat kini tetapi tidak merasai dan mengalami sendiri apakah yang sebenarnya erti ‘keperitan’ itu. Maknanya mereka tidak faham erti keperitan dan kesusahan yang dialami oleh rakyat. Mereka hanya pandai menyebut perkataan ‘derita rakyat’ tetapi tidak berusaha untuk mengubahkan keadaan yang menyebabkan rakyat derita.

Derita rakyat belum begitu reda ekoran daripada pengenalan GST, dan kini telah ‘diketemukan’ pula dengan kenaikan harga petrol pula. Hanya kenaikan 10 sen. Betul. Tetapi para peniaga hanya menunggu peluang sebegini untuk mencarikan alasan menaikkan harga barang. Tidak ramai para peniaga yang ikhlas yang tidak mengambil peluang menggunakan kesempatan ini. Pergilah ke kedai menjual ayam, harga ayam akan naik disebabkan harga petrol naik. Pergilah ke kedai menjual sayur, harga sayur akan naik disebabkan harga petrol naik. Malah peniaga di Pasar Ramdhan pun akan menaikkan harga disebabkan harga petrol sudah naik.

Dan biasanya ekoran daripada kenaikan harga petrol ini, Menteri berkaitan akan memberi amaran kepada peniaga supaya jangan menaikkan harga barang dan sekiranya dilakukan juga tindakan sewajarnya akan diambi. Rakyat semacam sudah jemu untuk mendengar kenyataan-kenyataan sedemikian. Dan jikalau pihak kementerian berkenaan ikhlas dalam menjalankan tugasnya, tentulah sudah ramai para peniaga yang tidak bertanggungjawab itu dihadapkan ke mahkamah. Malangnya sehingga kini hampir tidak kedengaran tindakan yang dijalankan oleh pihak berkenaan.

Akir-akhir ini kelihatan bahawa pihak kerajaan semacam tidak begitu ambil peduli tentang derita rakyat. Rakyat semacam dianggap seperti anjing yang menyalak gunung. Bukan sahaja cerita GST dan kenaikan harga petrol tetapi berbagai penyelewengan lain yang dilakukan seolah-olah menepati apa yang dikatakan seperti ‘pat pat siku lipat’. Siapa cepat dia dapat. Sebagaimana yang didakwa oleh pihak-pihak tertentu penyelewengan dalam IMDB belum selesai. Penyelewengan yang dilakukan oleh Lembaga Tabung Haji juga belum selesai. Penyelewengan dalam Felda terus menerus. Kini telah muncul pula kisah penyelewengan yang dilakukan oleh MARA.

Sekiranya betullah apa yang didakwa oleh pihak-pihak tertentu itu, maka jelaslah bahawa para pemimpin kita samada pemimpin politik ataupun pemimpin organisasi memang tidak ambil peduli tentang derita dan perasaan rakyat. Yang boleh ‘mencuri’ akan terus mencuri dan yang berpeluang menjalankan ‘rompakan’ akan terus merompak tanpa titik noktah.

Malangnya nasib negara ku. Harap-harap janganlah kita senasib dengan Greece.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.