Khamis, 30 Julai 2015

Pemecatan Gani satu bencana perundangan




Oleh MOHAMMAD FAIZAL CHE YUSOF


PEMECATAN Tan Sri Abdul Gani Patail, pada 27 Julai 2015 pada pandangan saya adalah satu perlanggaran kepada peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan sekaligus merupakan satu pencabulan perundangan yang amat serius oleh pentadbiran tertinggi negara.patah lagi pemecatan beliau tersebut amat tidak munasabah bila mana tarikh penamatan perkhidmatan beliau terlalu hampir iaitu pada 5 Oktober 2015.

 Dengan fakta-fakta Perlembagaan Persekutuan  yang jelas di samping pelbagai fakta perundangan yang menyelubungi pemecatan Tan Sri Abdul Gani, pada pengamatan saya, kita sekali lagi akan berhadapan dengan satu krisis perundangan dan krisis perlembagaan yang amat serius.

Pada penulisan ini, saya akan kemukakan fakta-fakta berkaitan perlembagaan yang akan dituruti beberapa fakta perundangan yang perlu diberi perhatian.

Dalam memastikan keutuhan institusi perundangan negara sekurang-kurangnya Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan dua kaedah penting pada waktu dirasakan perlu Peguam Negara dilucutkan atau dipecat dari jawatan.

Pertama dalam hal pemecatan kakitangan awam secara umum dan penjawat institusi perundangan secara khusus, setiap pemecatan wajiblah melalui proses pendengaran.

Peguam Negara adalah salah seorang penjawat awam dan beliau turut menduduki rang tertinggi dalam institusi perundangan Negara.

Apakah salah laku dan kesalahan yang dilakukan oleh Peguam Negara secara khusus yang membawa kepada pemecatan tesebut? Justeru satu hak untuk dibicarakan sebelum dipecat wajib diberikan kepada Tan Sri Gani.

Hal ini jelas dinyatakan dalam Perkara 135 (2) yang dibaca bersama Perkara 145 (5) Perlembagaan Persekutuan.

Bahkan dalam pemecatan Tan Sri Gani, selain tiada salah laku dinyatakan, telah juga didakwa bahawa kesihatan beliau yang tidak mengizinkan perkhidmatan beliau diteruskan yang kemudiannya telah dinafikan oleh beliau melalui pelbagai laporan media.

Dalam kaedah pertama ini, pemecatan Tan Sri Gani amat bertentangan dengan keadilan yang menjadi asas kepada amalan perundangan.

Dalam kaedah kedua pula, Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan satu representasi kepada Yang Dipertuan Agong wajib dikemukakan apabila seseorang Peguam Negara berhadapan dengan pemecatan atau pelucutan jawatan.

Ini sesuai dengan ketetapan Perkara 145 (6) Perlembagaan Persekutuan tentang kedudukan seorang Peguam Negara setara dengan kedudukan Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan.

Justeru melalui peruntukan Perkara 125 (2) perlembagaan Persekutuan, satu representasi khusus kepada Yang Dipertuan Agong adalah wajib dikemukakan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri bagi memulakan prosedur pemecatan seorang Peguam Negara.

Hanya dengan penerimaan representasi itulah, baru yang Dipertuan Agong punyai kuasa atas nasihat Yang Amat Berhormat Perdana Menteri untuk satu tribunal khusus dibentuk bagi menilai keperluan melucutkan jawatan Peguam Negara.

Begitu jelas kedua-dua kaedah asas ini telah tidak dipedulikan oleh pentadbiran tertinggi negara dalam isu pemecatan Tan Sri Gani sebagai Peguam Negara.

Dengan kedudukan Tan Sri Gani sebagai watak penting bagi menyiasat dakwaan penyelewengan yang berlaku dalam 1MDB, pemecatan tersebut dilihat sebagai rantaian krisis perundangan yang telah berlaku sebelumnya.

Berikut kita tumpukan kepada isu-isu perundangan yang berkait rapat dengan dakwaan penyelewengan 1MDB sehingga membawa kepada pemecatan Peguam Negara.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimeda “SKMM” melalui Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 telah secara rakus, tanpa alasan jelas menyekat paparan Sarawak Report.

Sarawak Report adalah antara laman web yang terkehadapan dalam mendedahkan dakwaan penyelewengan 1MDB yang membabitkan pucuk pimpinan tertinggi negara.

Seterusnya arahan pentadbiran Ketua Pengarah Imigresen yang dibuat melalui peruntukan Akta Imigresen 1959-63 mengehadkan perjalanan keluar ke luar negara terhadap Ahli Parlimen Mohd Rafizi Ramli (Pandan), Tony Pua (Petaling Jaya Utara), dan pemilik Kumpulan Media Edge, Datuk Tong Kooi Ong, adalah suatu perlanggaran hak asasi yang dijamin perlembagaan negara.

Mengehadkan perjalanan mereka ke luar negara telah dibuat tanpa alasan dan fakta yang munasabah. Ketiga-tiga mereka adalah individu yang dilihat lantang mendedahkan dakwaan penyelengan 1MDB yang membabitkan pucuk pimpinan tertinggi negara.

Siri penggunaan undang-undang yang sewenang-wenang terus diamalkan bila mana Menteri Dalam Negeri melalui peruntukan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 menggantung tiga bulan penerbitan Edge, dan Edge Financial Daily.

Penggantungan tiga bulan tersebut hanyalah dilihat sebagai satu tindakan menghalang kebebasan bersuara dan kebebasan media dalam mendedahkan dakwaan penyelewengan dana 1MDB.

Persoalan yang bermain di minda rakyat betapa mereka yang didakwa terlibat dalam dakwaan penyelewengan 1MDB bebas sebaliknya mereka yang mendedahkan dakwaan penyelewengan tersebut berhadapan tindakan undang-undang perlu dileraikan seberapa segera.

Apatah lagi dalam mendokong keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang, setiap institusi undang-undang dan keadilan negara tidak boleh sekali-kali diperguna untuk melindungi kepentingan individu-individu tertentu.

Keutuhan institusi perundangan dan keadilan yang selama ini sedia tercalar tentu sekali berhadapan dengan tanggapan negatif rakyat betapa ia begitu mudah disalahguna untuk melindungi pelbagai kepincangan dan salah laku yang berlaku dalam pentadbiran.

Suka ataupun tidak, rakyat sekali lagi terpaksa berhadapan dengan kerakusan penguasa yang dilihat begitu sewenang-wenang memperguna dan memperalat undang-undang negara bagi kepentingan kelompok-kelompok kecil. Dalam mendepani situasi gawat kini, tiada pilihan bagi setiap rakyat untuk menyiapkan diri dengan maklumat dan pengetahuan yang tepat dan sahih bagi mendepani apa jua kemungkinan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.