MALAYSIAKINI
Timbalan presiden PKR Azmin Ali menyelar menteri dalam negeri Datuk Seri
Ahmad Zahid Hamidi yang mencadangkan agar golongan yang tidak bersetuju
dengan sistem pilihan raya supaya berhijrah.
Azmin dalam satu
kenyataan hari ini menyebut, kenyataan Ahmad Zahid membuktikan bahawa
transformasi yang dianjurkan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak itu
hanya satu kepura-puraan.
"Adakah ini cara Najib menunjukkan 'kabinet transformasi baru'?
"Tahniah,
Zahid! Dengan mengambil sikap angkuh dan pongah sebagai peristiharan
pelantikan sebagai menteri, anda menunjukkan kedua-dua sikap bongkak dan
bodoh.
"Kita tidak marah pada negara ini kerana ini tanah air
kami, ia juga milik anda tapi janganlah bercakap seperti anda dan Umno
yang memilikinya. Kesemua kami anak Malaysia adalah pemiliknya dan kami
setia kepada Agong dan negara,” kata Azmin.
Azmin berkata rakyat
Malaysia berhak untuk menyuarakan kekecewaan dan kemarahan mereka
berhubung pilihan raya yang tidak bersih dan bebas.
“Kita tidak
bercakap mengenai kecacatan pilihan raya di sana sini. Kita melihat
mengenai penipuan sistemik yang dilakukan dalam skala besar,” katanya.
Naib
presiden Umno itu dalam tulisannya di akhbar milik parti tersebut,
Utusan Malaysia pada hari Khamis lalu menyeru golongan yang enggan
menerima sistem pilihan raya Malaysia agar meninggalkan negara ini dan berhijrah ke negara yang menjalankan pilihan raya mengikut kaedah yang digemari.
Beliau
yang baru dilantik mengetuai kementerian dalam negeri mensasarkan
perkara itu kepada golongan pengikut parti politik yang berpakaian serba
hitam dalam kempen bagi membantah keputusan pilihan raya umum ke-13.
“Pemimpin-pemimpin
parti pembangkang khususnya PKR dan DAP telah mengelirukan anak-anak
muda Cina dan para pengikut yang buta politik untuk berpakaian serba
hitam sebagai tanda protes terhadap keputusan PRU-13 yang dianggap
memihak kepada mereka mengikut undi popular,” katanya.
“Jika
golongan ini mahu menerima pakai list system atau single transferable
vote seperti mana yang digunakan oleh negara-negara republik, sepatutnya
mereka berhijrah ke negara-negara berkenaan untuk mempraktikkan
kepercayaan politik mereka,” katanya.
Tambahnya, Malaysia tidak mengiktiraf undi popular tetapi majoriti mudah seperti yang diamalkan dalam sistem Westminster.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.