KUALA LUMPUR: Dua sayap utama PAS menjanjikan komitmen untuk terus
memberi sokongan dan sentiasa berdiri teguh di belakang presidennya
Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai respons terhadap peringatan yang
ditujukan kepada seluruh anggotanya.
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Muhammad Khalil Abdul Hadi
berkata kandungan surat tersebut yang ditujukan kepada ahli parti perlu
diberi perhatian serius.
"Maknanya surat itu kepada seluruh ahli PAS kalau ikut apa yang terkandung dalam surat itu," katanya.
Jelas beliau, sekiranya isi kandungan surat tersebut berbentuk arahan maka ia perlu dipatuhi.
"Sama ada ia dalam bentuk arahan ataupun nasihat.
"Kalau bentuk arahan kena ikutlah dan kalau dalam bentuk nasihat kena pertimbangkanlah," katanya kepada Antarapos.
Sementara itu, menurut Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat Nuridah Mohd
Salleh, selaku presiden PAS Abdul Hadi perlu memberi peringatan serta
nasihat kepada ahli parti agar masing-masing tidak terpesong daripada
landasan perjuangan Islam.
"Pada ustazah mestilah, beliau sebagai pemimpin dan ketua kepada
sesuatu organisasi perlu memberi peringatan kembali atau mengingatkan
kembali kepada ahli-ahli agar tidak lupa kepada asas perjuangan PAS itu
sendiri.
"Perjuangan PAS ini asasnya ia tidak mengikut selera kepimpinan itu
sahaja tetapi kita adalah meneruskan perjuangan para Nabi dan itu telah
termaktub dalam perlembagaan PAS itu sendiri," katanya.
Justeru beliau mengharapkan ahli serta pimpinan PAS semua peringkat
menerima apa jua teguran atau peringatan dengan terbuka tanpa
menjejaskan gerak kerja dan juga tanggungjawab mereka kepada parti.
"Jadi pada ustazah kita haraplah ahli-ahli PAS di semua peringkat tidak
hilang punca dalam menghadapi ujian, kemelut yang Allah uji.
"Fenomena ini secara peribadi pada ustazah memang tidak menggemberikanlah," katanya.
Dalam surat terbuka Abdul Hadi kepada ahli PAS kelmarin, beliau
mengingatkan semua pemimpin dan ahli parti bahawa sejarah PAS
menunjukkan mereka yang keluar parti itu dan bersama parti baharu akan
tenggelam.
Beliau berkata, setiap ahli PAS mestilah bersama dengan jemaah yang
diwujudkan di atas prinsip dan matlamat beraqidah teguh bersama konsep
pendekatannya dan wajib beristiqamah mengikut kenyataan nas serta
sejarah.
Terkilan dengan sikap ahli PAS yang berhasrat keluar parti
Mengulas lanjut, Nuridah berkata ahli dan pemimpin PAS perlu istiqamah
dengan perjuangan sebenar parti tanpa melanggar etika parti Islam itu
selain melupakan hasrat untuk keluar dan menubuhkan parti baru.
"Sesuatu yang menyedihkan pada ustazah dan saya harap mereka
berfikirlah semula sebab dulu pun sewaktu mereka sertai PAS mereka sudah
tahu.
"Mereka dah tahu sebab memang daripada dulu PAS macam itu asas perjuangannya dan tak akan lari," katanya.
Tambah beliau, setiap individu dalam PAS termasuk pemimpin tidak wajar
sewenang-wenang bergerak bebas dengan pertubuhan yang tidak lagi mesra
dengan parti itu.
"Cuma dari sudut pendekatan itu sahaja yang mungkin mereka nak tapi
pada kita macam itulah sebagaimana yang disebut dalam surat peringatan
presiden.
"Maknanya kita apa-apa pun mesti berdasarkan kepada al-Quran dan sunnah," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.