BERNAMA
Saman fitnah yang difailkan Najib terhadap Harakah dan Harakahdaily berhubung isu 1MDB akan mula didengar pada 7 Oktober ini.
KUALA LUMPUR- Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan
tujuh hari, bermula 7 Oktober ini untuk mendengar saman fitnah yang
difailkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap Harakah dan Harakahdaily berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Hue Siew
Kheng menetapkan tarikh itu dalam kamarnya, dengan kehadiran peguam,
Datuk Mohd Hafarizam Harun, Datuk Abu Bakar As-Sidek dan Nor Emilia
Iszeham yang mewakili Najib, serta Mohamed Hanipa Maidin bagi Harakah dan Harakahdaily.
Mohd Hafarizam ketika ditemui pemberita
berkata, mahkamah turut menetapkan 13 Julai ini untuk mendengar
permohonan Najib, bagi membuang dua perenggan dalam pernyataan
pembelaan, berkaitan dakwaan ulasan adil dan perlindungan bersyarat yang
difailkan defendan.
Dalam saman yang difailkan pada 18 Mac lalu, Najib menamakan Pengarah Urusan Harakah, Dr Rosli Yaakob dan Ketua Pengarang Harakahdaily, Taufek Yahya sebagai defendan.
Ia membabitkan penerbitan artikel yang ditulis Rosli pada 19 Februari lalu, berkaitan isu dana 1MDB.
Menerusi pernyataan tuntutan, Najib
berkata, artikel itu mengandungi perkataan fitnah yang menggambarkan
beliau telah menyalahgunakan dana 1MDB.
Oleh itu, katanya, penerbitan artikel
berkenaan telah menjejaskan reputasinya dan mengakibatkan beliau dikecam
dalam media sosial dan media massa.
Najib turut mendakwa Taufek gagal mengamalkan ‘kewartawanan bertanggungjawab’ (responsible journalism), dengan tidak mengesahkan kebenaran perkataan ditulisnya, sebelum menerbitkan artikel itu.
Perdana Menteri mendakwa, defendan
sengaja menerbitkan artikel fitnah itu bagi meneruskan agenda
tersendiri, untuk menghancurkan kepercayaan dan keyakinan rakyat
terhadapnya.
Sehubungan itu, beliau menuntut ganti
rugi am, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, faedah serta injunksi
untuk menghalang defendan atau pembantu mereka daripada menerbitkan
artikel berkenaan.
Ingin menambah sesuatu pada laporan ini? Sila maklumkan melalui komen di bawah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.