Isnin, 1 Jun 2015

Pemerdagangan manusia, lagi kem dikesan

MALAYSIAKINI


 


Satu lagi kem transit pemerdagangan manusia dikesan di Hutan Simpan Mata Ayer di Lubuk Sireh terletak kira-kira 100 meter dari sempadan Thailand.

Kem yang lengkap dengan pelbagai kemudahan yang dilengkapi dengan generator dan empangan kecil, amat berbeza dengan kem transit yang ditemui di Bukit Wang Burma, Wang Kelian, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim yang meninjau ke kawasan itu semalam.

Menurut Shahidah berkata beliau terkejut kerana kem transit itu dibina dengan cantik dan rapi serta lengkap dengan kemudahan seperti surau dan empangan kecil.

"Kelengkapan seperti generator, kain kafan, tikar sembahyang, telekung dan kebun sayur juga kelihatan di seolah-olah ada satu komuniti di situ. Sama ada wujud penyeksaan itu kita tunggu polis siasat," katanya kepada pemberita selepas meninjau kawasan penempatan itu semalam.

Shahidan berkata bentuk kem sementara itu kelihatan seperti kem tentera Viet Cong dan jarak antara kem tersebut dengan kem di Bukit Wang Burma, Wang Kelian itu mengambil masa lebih dua jam dengan berjalan kaki.

"Keluasan kawasan itu lebih separuh daripada keluasan padang bola dan saya percaya ia bukan dibina rakyat Malaysia berdasarkan reka bentuk dan keadaan sekeliling," katanya.

Shahidan berkata kem itu kini dikawal rapi oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) bagi memastikan tidak ada pihak mencuri bahan bukti dan sehingga pihak forensik dan polis mengenal pasti perkara yang berkaitan.

Sementara itu, 35 rangka manusia dipercayai mangsa sindiket pemerdagangan manusia yang dijumpai di hutan Bukit Wang Burma di Wang Kelian telah di bawa ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar, Kedah untuk proses patologi.

Setakat ini, sebanyak 139 kubur di 28 kem sementara sindiket pemerdagangan  manusia ditemui antara Kampung Wai di Kuala Perlis hingga Tangga 100 di Felcra Lubuk Sireh, Padang Besar, sepanjang 11 kilometer.

Sementara itu Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapat maklumat bahawa individu yang terlibat dengan kem dan pembunuhan berkenaan dipercayai bersembunyi di Ranong, Thailand bersempadan dengan Kawthoung di Myanmar.
  
Ranong terletak di sepanjang Pantai Andaman Utara di Selatan Thailand dan mudah diakses melalui bot dari Kawthoung, Myanmar sekali gus menjadi pilihan sindiket untuk melakukan kegiatan pemerdagangan manusia.
  
Dalang terlibat dipercayai warga Thailand mengelak dikesan pihak berkuasa, baik dari Malaysia dan Thailand yang terus memperhebat operasi menjejakinya di Ban Ta Lok, Padang Besar, tempat kubur besar mengandungi enam mayat, dipercayai mangsa pemerdagangan manusia ditemui. 

Keseriusan Polis Thailand menjejaki mereka yang terlibat terserlah dengan 81 waran tangkap telah dikeluarkan setakat ini temasuk empat waran tangkap baru hari ini.
   
Kira-kira 51 suspek telah ditangkap sementara 30 orang lagi masih bebas dan Polis Thailand sedang memburu saki-baki suspek di Songkhla, Satun dan Ranong.

UAE beri bantuan

Sementara itu, Emiriah Arab Bersatu (UAE) menyokong kuat inisiatif Malaysia dalam menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada golongan pendatang, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

Perkara ini telah disampaikan kepada Anifah yang sedang dalam lawatan rasmi ke Abu Dhabi selama dua hari sejak Jumaat lepas semasa pertemuan dua hala dengan rakan sejawatnya, Sheikh Abdullah Zayed Al Nahyan di Kementerian Luar UAE, kata kenyataan Wisma Putra semalam.

Ia berkata Sheikh Abdullah juga melahirkan kesediaan UAE untuk bekerjasama dalam menghulurkan bantuan kemanusiaan.

Anifah di dalam pertemuan itu bertukar pandangan dengan rakan sejawatannya mengenai isu pergerakan pendatang asing tanpa izin di Asia Tenggara dan
menegaskan selaku Pengerusi ASEAN, Malaysia akan menangani isu ini terutamanya keperluan bantuan kemanusian yang mendesak dalam kalangan pendatang.

Semasa pertemuan itu, kedua-dua menteri membincangkan isu dua hala dan perkara yang menarik perhatian bersama di rantau ini terutamanya berkenaan umat Islam.

Kenyataan itu berkata Anifah juga mencari lebih ruang untuk kerjasama dengan sasaran untuk meluaskan hubungan yang sedia ada dengan UAE.

"Lawatan itu sememangnya meningkatkan ikatan hubungan bilateral buat sekian lama yang rapat antara Malaysia dan UAE," katanya. - Bernama


 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.