Jumaat, 29 Mei 2015

Pertembungan dua kumpulan dalam PAS bukan untuk guling Hadi - Khairuddin

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar

 
Post Pic

 
 
KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Khairuddin Aman Razali enggan mengaitkan pemilihan parti pada Jun ini sebagai usaha dalam menjatuhkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan golongan ulama.
 
Sebaliknya, ia lebih kepada pertembungan antara dua atau lebih pihak yang mempunyai strategi perjuangan PAS yang berbeza daripasa struktur asal.
 
"Tidak ada istilah guling. Ini adalah proses demokrasi maka biarkan mereka bertanding. Istilah guling wujud jika Hadi dijatuhkan sebelum masanya.
 
"Ada pihak tertentu membuat pelbagai serangan individu terhadap hadi, dan itu adat dalam perjuangan, akan ada yang tidak suka kita. Walaupun ahli-ahli sendiri (buat serangan) yang digunakan oleh musuh dari luar (parti).
 
"Jika ada pun pertembungan, adalah mereka yang mahu mengekalkan asas perjuangan PAS dan mereka yang cuba membawa pendekatan baru dalam PAS yang (mungkin) dilihat tidak selari, tidak kena...," tegasnya ketika ditemui Antarapos, baru-baru ini.
 
Muktamar PAS Kali ke-61 yang akan diadakan minggu depan dikatakan menjadi medan penting bagi dua kem utama di dalam parti itu. Kem tersebut adalah daripada golongan profesional dan ulama.
 
Golongan profesional didakwa cuba menjalankan protes dengan mahu menggantikan barisan kepimpinan ulama kepada golongan yang lebih progresif dan moden serta mesra dengan Pakatan Rakyat (PR).
 
Manakala golongan ulama pula dilihat berterusan memperjuangkan idea asal PAS walaupun dilihat sering bertentangan dengan persepakatan bersama di dalam gabungan pembangkang itu.
 
Keengganan golongan ulama yang dipimpin Hadi untuk patuh kepada beberapa dasar Pakatan akhirnya memberikan kesan buruk kepada PAS dari segi hubungan dan kerjasama.
 
"Pertembungan ini berlaku antara mereka yang mempertahankan dasar parti, dasar Islam ke Putrajaya dengan Islam. Bukan PAS dengan orang lain atau tunduk dengan pandangan orang lain.
 
"PAS kena jadi diri sendiri, bertindak dengan rangka kerja yang dibuat oleh parti sendiri," demikian menurut Khairuddin merujuk kepada pertembungan dua kem berkenaan.
 
Khairuddin, yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus juga menggesa rakan-rakannya, DAP dan PKR untuk menghormati PAS tanpa mencetuskan sebarang konflik yang mungkin akan memberi kesan kepada pemilihan parti itu.
 
Ia berikutan serangan berterusan DAP terhadap PAS dan Hadi, dengan mengaitkan kerjasama tiga parti itu di dalam Pakatan akan berakhir selepas Muktamar PAS dalam tempoh dua minggu akan datang.
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.