MALAYSIAKINI
Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) tidak akan berkompromi jika
terdapat unsur penipuan sepanjang prosiding siasatan berhubung isu
berkaitan syarikat pelaburan strategik kerajaan, 1Malaysia Development
Berhad (1MDB).
Pengerusinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata pihaknya akan bertindak
tegas sekiranya terdapat tindakan menipu bertujuan melengahkan prosiding
siasatan melibatkan dua saksi, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia
Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy dan bekas CEO Datuk
Shahrol Halmi yang tidak hadir pada prosiding minggu lepas.
"Kali ini jika terdapat sebarang bukti mereka menipu kami, kami (PAC)
akan lebih agresif daripada biasa," katanya pada sidang akhbar selepas
mengadakan pertemuan dengan pegawai kanan Kementerian Pertahanan di
bangunan Parlimen di ibu negara
hari ini.
Menjelaskan isu itu, Nur Jazlan berkata beliau tidak dapat mengesahkan
dakwaan bahawa kedua-dua saksi penting berkenaan mempunyai urusan di
luar negara.
"Semua orang telah mendengar begitu banyak tuduhan, sindiran dan
macam-macam, dan mereka tidak tahu sama ada ia benar atau palsu dan ada
kecenderungan untuk mengisytiharkan beberapa orang yang bersalah.
"Bila mereka datang, kami akan tanya sama ada benar atau tidak mereka
tidak berada di dalam negara pada tarikh mereka sepatutnya berjumpa
kami," katanya.
Beliau berkata semua pihak tidak seharusnya mendengar pelbagai dakwaan
berhubung isu 1MDB, sebaliknya membenarkan prosiding siasatan dijalankan
dengan sebaiknya.
Mengenai surat kepada Kementerian Kewangan pada 25 Mei lepas bagi
memanggil dua firma yang mengaudit 1MDB, katanya PAC belum boleh
mengesahkan kehadiran wakil daripada kedua-dua firma iaitu Firma
Deloitte & Co yang dijadual bertemu PAC pada 10 Jun sementara firma
KPMG pula dijadual hadir pada 17 Jun.
Terdahulu, Nur Jazlan berkata prosiding PAC hari ini memanggil
Kementerian Pertahanan bagi mendapat penjelasan mengenai pembinaan dan
pengurusan Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Jalan Padang
Tembak, di sini berikutan pembinaan bangunan bernilai RM103 juta itu
yang lewat siap.
Nur Jazlan berkata antara individu yang dipanggil ialah Ketua
Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Abd Rahim Mohd Radzi dan
Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Datuk Dr Rothiah Omar dan
Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Datuk Mohammad Foad Abdullah.
"Ini jenis bangunan tinggi pertama yang dibina ATM. Inilah kali pertama
mereka dipertanggungjawabkan membina bangunan tinggi Wisma Perwira yang
tarikh mula buat pada 28 Ogos 2008, siap sebenar 19 Mac 2012 dan
mengalami kelewatan masa 389 hari selain isu-isu lain yang dikenal pasti
ialah kualiti pembinaan, isu kontrak dan mengenai pemantauan bangunan
itu," katanya.
Selain itu, Nur Jazlan berkata pihaknya juga akan memanggil dua pegawai
berkaitan isu pengurusan pembinaan Kolej Tentera Udara Diraja Malaysia
(TUDM) di Kepala Batas, Pulau Pinang serta pengurusan Prasarana dan
kemudahan Wisma Transit Tentera Darat di Kuala Lumpur.-Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.