Rabu, 22 April 2015

Satu lawan satu di Rompin

MALAYSIAKINI


 


Proses penamaan calon untuk pilihan raya kecil parlimen Rompin di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah ditutup pada jam 10 pagi selepas dibuka sejak jam 9 pagi.

Dua calon, Datuk Hasan Arifin daripada BN dan Nazri Ahmad (PAS) menyerahkan borang masing-masing kepada pegawai bertugas.

Senarai rasmi calon itu diumum Pegawai Pengurus Pilihan Raya Datuk Fadzilla.

Seorang bloger yang mengumumkan mahu bertanding sebagai calon bebas Isnin lalu, Mohd Shukri Mohd Ramli tidak dibenarkan memasuki pusat penamaan kerana tidak membawa bersamanya penyata akaun dan pencadang.

Hasan tiba di pusat penamaan calon diiringi Timbalan Pengerusi BN Tan Sri Muhyiddin Yassin kira-kira jam 8.50 pagi.

Turut ada, Naib Presiden Umno yang juga Penyelaras Pilihan Raya Kecil Rompin, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai, Timbalan Presiden MIC Datuk Seri Dr S Subramaniam, Naib Presiden Gerakan Datuk A Kohilan Pillay serta kira-kira 5,000 penykong.

Calon PAS pula diiringi timbalan presiden parti itu, Mohamad Sabu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dan Ahli Parlimen Batu Tian Chua.

Bersama kira-kira 1,000 penyokong, mereka berarak dari sebuah stesen minyak yang terletak lebih kurang 200 meter dari pusat penamaan calon.

Hasan menyerahkan borang pencalonan pada jam 9.07 pagi manakala Nazri 9.04 pagi.

Pilihan raya kecil itu diadakan ekoran kematian penyandang Tan
Sri Dr Jamaluddin Jarjis dalam kemalangan helikopter di Semenyih pada 4 April lalu.

Dalam pilihan raya umum ke-13, Jamaluddin mengekalkan kemenangan di kerusi itu mengalahkan bekas Ketua Muslimat PAS Pusat, Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114 undi.

Parlimen itu mengandungi 53,294 pengundi berdaftar, termasuk 545 pengundi awal.

Pilihan raya kecil itu akan diadakan pada 5 Mei ini. Bernama


 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.