MALAYSIAKINI
Penduduk Sarawak - sama ada beragama Islam atau Kristian - meluahkan
rasa marah masing-masing di Facebook ekoran tunjuk perasaan sekumpulan
penduduk Melayu yang mendesak simbol salib sebuah gereja diturunkan
baru-baru ini.
Kebanyakan mereka berkata, isu seumpama itu tidak pernah berlaku di Sarawak.
Ahmad Nazri Roy dari Kabong, Sarawak berkata rakyat Semenanjung Malaysia
bukan saja perlu belajar daripada pengalaman penduduk Sarawak, malah
Indonesia.
"Di Sarawak, kami hidup bersama dalam harmoni. Ada bangunan gereja dan
masjid didirikan bersebelahan seperti dalam video ini," katanya merujuk
kepada klip bertajuk Satu Alamat yang dimuat naik pengendali akaun Dayak People Educated di Facebook.
Sejak Isnin lalu klip vide berkenaan ditonton lebih 4,000 kali dan dikongsikan lebih 300 kali.
Video sepanjang 5.46 minit itu memaparkan Gereja Kristian Jawa
Joyodiningratan dan Masjid al-Hikmah yang berkongsi alamat pos - 222,
Jalan Gatot Subruto di Solo, Jawa Tengah.
"Kami orang Sarawak dan Sabah berbeza daripada penduduk Malaysia Barat.
Kristian, Muslim, Buddha dan lain-lain hidup sebagai keluarga besar,"
katanya.
Sementara itu seorang lagi pengguna Nur Arina Abdul Hadi dari Bintulu
berkata dia pernah berkongsi bilik dengan seorang penganut Kristian
ketika menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak dan ia tidak
menjadi isu kepadanya.
"Saya tahu dia memakai salib, tetapi dia tidak pernah mengganggu saya. Saya masih boleh bersolat dalam bilik, tak ada masalah.
"Sudahlah, kalau satu salib boleh menakutkan kamu, mesti ada sesuatu
yang tak kena dalam diri kamu, bukan gereja. Kan?" tulis Nur Arina.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.