SHAH ALAM: Pihak luar termasuk peguam digesa berhenti mengelirukan
masyarakat berhubung rancangan PAS Kelantan yang mahu mengusulkan dan
meminda Akta 355 (Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 di
Dewan Rakyat nanti.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah sebaliknya
menegaskan, apa yang mahu dibuat oleh PAS Kelantan itu ialah untuk
melaksanakan hudud di negeri berkenaan dengan meminda akta berhubung
mahkamah syariah dan bukannya Perlembagaan Persekutuan.
Sehubungan itu, beliau meminta mana-mana pihak yang tidak arif tentang
perkara ini berhenti memberi kenyataan selagi mereka tidak mendalami
dahulu perkara-perkara yang membabitkan Akta 355 dan Mahkamah Syariah.
"Dia tidak perlu 2/3 sebab kita perlu majoriti mudah sahaja. Pertama
ialah pinda Akta 355, kedua memohon kebenaran di bawah Perkara 76 (A),
semua ini tidak melibatkan pindaan perlembagaan, yang memerlukan 2/3
majoriti itu hanya kalau kita hendak pinda perlembagaan.
"Yang pertama kita hendak bawa Akta 355 dulu, perkara 76 (A) belum
lagi, yang 76 (A) itu tidak tahu bila lagi. Yang kita hendak mula dulu
dengan 355 dulu sebab kalau 355 lulus, empat daripada enam kesalahan
syariah itu sudah boleh dilaksanakan.
"Kita ada enam kesalahan hudud kan, jadi kalau 355 sudah dipinda, empat
daripada hukuman kesalahan di bawah kanun hudud sudah boleh
dilaksanakan," katanya.
"Sebab itu saya kata mereka ini tidak tahu apa yang mereka cakap,
mereka tidak tahu apa yang kita (PAS Kelantan) hendak buat. Itu yang
menjadi masalah itu.
"Masing-masing bagi komen atas perkara yang mereka tidak faham sangat
dan tidak tahu, menambahkan kekeliruan lagi ada mereka-mereka ini,
sepatutnya tanya dulu PAS Kelantan apa hendak buat, bukan terus bagi
komen, ini tidak, mereka terus komen tapi tidak tahu apa yang hendak
dibuat," katanya kepada Antarapos ketika dihubungi tadi.
Beliau mengulas beberapa kenyataan daripada penganalisis politik dan
pengamal undang-undang yang kini sudah mula lantang menyuarakan bahawa
enakmen hudud tetap memerlukan 2/3 majoriti untuk diluluskan oleh
Speaker di Dewan Rakyat.
Amar bagaimanapun menegaskan apa yang akan dibawa oleh Presidennya,
Datuk Seri Abdul Hadi Awang ialah Akta 355 terlebih dahulu dan tidak ada
kena-mengena dengan apa yang dibahaskan oleh mereka di luar sana.
"Yang ini tidak ada pun hendak pinda perlembagaan.
"Yang pertamanya hendak pinda Akta 355, semua bidang kuasa mahkamah
kita hendak luaskan bidang kuasa. Sebabnya sekarang Mahkamah Syariah
terikat dengan Akta 355 atau dikenali sebagai (365), jadi rang
undang-undang untuk Akta 355 ini memberikan kuasa yang lebih.
"Mahkamah syariah menghukum kehendak syarak, sementara yang satu lagi
kita hendak meminta kebenaran parlimen untuk perkara 76 (A) 1 itu yang
melibatkan hukuman potong tangan, mencuri dan hukuman bunuh. Sebab itu,
di bawah bidang kuasa persekutuan," katanya.
"Bagi saya dia (Ahli Parlimen, Nazri Aziz) tidak faham, itu sahaja,
kalau pinda perlembagaan memang betul memerlukan 2/3, itu kita pun
setuju tetapi kita bukan hendak pinda perlembagaan, kita hanya memohon
kebenaran di bawah perkara 76 (A) bukannya hendak pinda perkara 76 (A)
tetapi kita memohon kebenaran, dia ada beza perkara itu," katanya.
Semalam, bekas menteri undang-undang, Datuk Seri Nazri Aziz berpendapat
undang-undang hudud tidak akan dapat dilaksanakan di negara ini, dan
mereka yang membincangkannya adalah individu yang "bodoh".
Nazri, yang juga menteri pelancongan berkata, undang-undang Islam itu
hanya akan dapat dilaksanakan dengan meminda Perlembagaan Persekutuan,
yang mana memerlukan majoriti dua pertiga majoriti Parlimen.
Selain Nazri, Penganalisis Politik, Dr. Azizuddin Md Sani turut
memberikan pandangan yang sama dengan bekas menteri undang-undang itu
sekali gus membayangkan PAS Kelantan melalui jalan yang sukar untuk
mendapatkan 2/3 majoriti di Dewan Rakyat sekiranya mahu melaksanakan
hudud di negeri itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.