BUKAN mudah untuk mengimbangi waktu belajar dengan kehidupan seharian jika terpaksa berhadapan masalah air setiap hari. Apatah lagi jika ia berlaku dalam tempoh yang panjang iaitu 10 tahun.
Ya, 10 tahun.
Saban hari pelajar-pelajar ini terpaksa berhadapan dengan kesulitan mendapatkan bekalan air bersih untuk kegunaan mereka sehingga ada yang terpaksa menumpang mandi di luar kampus sebelum menghadiri kuliah.
Menurut Speaker Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia, Zaki Shukor, sesetengah penuntut UKM turut mendaki bukit tinggi dengan membawa kelengkapan mandi seawal subuh semata-mata untuk mendapatkan bekalan air bersih di blok kampus lain.
“Pihak yang paling terkesan dengan ketiadaan air di kampus ini adalah mahasiswi. Kerana mereka itu kaum perempuan. Mereka terpaksa berjalan kaki jauh untuk mengambil bekalan air atau untuk mandi.
“Kalau kami (lelaki) mungkin bukan satu masalah besar. Kami boleh tumpang motosikal kawan untuk mandi di mana-mana, tetapi lain bagi kaum perempuan,” katanya ketika ditemui Sinar Online di Bangi, hari ini.
Zaki bersama sekumpulan mahasiswa ditemui selepas penyerahan Memorandum Tuntutan Air Pelajar UKM kepada Ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Ming yang berlangsung di hadapan bangunan Canselori UKM, petang tadi.
Tambahnya, masalah air yang melanda di UKM menyebabkan ada di antara penuntut yang terpaksa ponteng kelas.
"Kalau kami ada kelas pada pukul 8 pagi, kami terpaksa bangun awal sebelum jam enam untuk berjalan kaki mencari sumber bekalan air dari blok kampus ke blok yang lain.
“Malah ada antara kami yang terpaksa ponteng kelas hanya kerana mahu mandi. Ada juga di antara kami yang terpaksa ke kelas dalam keadaan tidak mandi,” katanya
Sementara itu, menurut seorang lagi penuntut UKM, Asheed Ali, sebelum ini pihak mahasiswa pernah cuba bersemuka dengan pihak pengurusan dan pentadbiran universiti namun jawapan yang diberi amat mengecewakan.
“Selama ini penerangan berkaitan masalah ini tidak jelas. Apa yang kami faham, sistem perpaipan di sini (universiti) dibuat bertahun-tahun lepas. Dulu kapasitinya dibuat untuk menampung hanya 10,000 penghuni siswa dan siswi. Sekarang bilangan penuntut universiti bertambah dan air tidak cukup buat kami semua,” katanya.
Malah dakwanya lagi, ada pelajar dilapor mengalami kemalangan sewaktu cuba mengangkut air di kawasan kampus universiti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.