Sabtu, 28 Mac 2015

Mahasiswa yang baik dan bebas



Oleh Muhammad Ameruddin 


Hampir genap 2 tahun perjalanan buku jalanan di Skudai ini.Banyak pengalaman manis, pahit dan terkadang masam yang singgah dan berlalu pergi.. Yang manis itu biarlah menjadi kenangan semasa menjalani zaman tua kelak. Manakala yang pahit dan masam diharapnya menjadi pengajaran dan pendorong kepada pewaris yang bakal memegang tampuk pimpinan buku jalanan di sini kelak..

Asal penubuhan Buku Jalanan UTM (BJUTM) ini, hanyalah berbekalkan niat untuk melihat masyarakat dan mahasiswa di sini ke dewan kuliah serta arked berbimbitkan sebuah buku.


Tetapi bukanlah sekadar buku akademik atau bidang pelajarannya semata tetapi buku-buku yang berkisar tentang falsafah, pemikiran dan ideologi. Paling koman pun buku tentang isu-isu semasa tidak kisah berputar sekitar politik, ekonomi mahupun sosial.

“Jikalau ingin melihat generasi yang bijaksana dan berani, ajarkanlah anakmu perihal falsafah.”

Kerancakan pembangunan di negara Malaysia kini, memandulkan fungsi dan peranan asal mahasiswa dan kepentingan ilmu yang dipelajarinya. Mahasiswa kini tidak lagi memikirkan tentang tanggungjawabnya kepada masyarakat tetapi sebaliknya hanya memikirkan “perut sendiri”.

Di manakah tempat bergantungnya masyarakat yang meraba-raba dalam kegelapan, bilamana golongan-golongan yang diharapkan itu hilang bagai kacang lupakan kulit.

Pada awalnya, kelakukan pemuda-pemuda ini dilihat agak pelik dan janggal oleh sesetengah orang yang lalu-lalang. Mana tidaknya, dikala tasik ilmu ini menjadi tempat mahasiswa untuk beriadah, lima pemuda ini duduk-duduk santai beralaskan tikar yang dipenuhi buku.

Buku yang ada terbentang di situ, rencam genrenya. Sebut saja, politik, falsafah, ekonomi, agama, penulisan am, sastera dan sebagainya. Kesemuanya adalah buku yang dikumpul dari mahasiswa sendiri dan untuk dijadikan bahan bacaan dan pinjaman awam secara percuma.

Gila bukan?? Mungkin jawapannya “Ya” bagi yang tidak pernah mendengar.

Tetapi sebenarnya usaha-usaha sebegini sudah pun rancak berlaku di negara-negara yang membangun seperti Eropah dan Amerika Utara mahupun timur tengah.

Tetapi tidak apalah..Kita anggap saja status negara maju menjadi faktor utama yang menyebabkan mereka, negara-negara ini, lebih maju dari Malaysia dalam aspek pembangunan sosial dan kerancakan peradaban ilmu.

Jadi berbalik kepada hal tadi. Mana mungkin sebuah universiti yang berteraskan teknologi dan kejuruteraan ini mampu untuk menghasilkan mahasiswa yang berminat dan proaktif dengan bidang falsafah, ideologi, politik dan juga ekonomi (bahan-bahan yang agak berat dan memerlukan “iman” yang lebih untuk menelaahnya).

Lainlah keadaannya jika dibandingkan dengan menara-menara gading di sekitar pantai barat.
Bidang-bidang tersebut sememangnya menjadi bahan makanan atau santapan harian mereka di dalam dewan kuliah.

Tetapi kami percaya manusia ini organik dan dinamik sifatnya. Sistem pendidikan sekarang atau hasrat “murni” kerajaan yang dirancang tidak mampu untuk mengatur, merancang dan menjangkakan sepenuhnya hasil atau produk yang akan keluar dari percaturan mereka.

Tidak dapat dinafikan bahawa ada graduan-graduan yang keluar seperti yang dirancang oleh sistem atau pemerintah.

Graduan-graduan ini diharapkan oleh kerajaan dapat memenuhi keperluan revolusi industri versi Malaysia. Tidak kira keluar sebagai profession apa, seorang doktor, peguam, hakim, jurutera malahan pemimpin yang lahir daripada sistem tersebut.

Mereka ini boleh dikatakan meninggalkan peradaban dan kepentingan ilmu yang yang mereka dulu pelajari, tetapi sibuk atau disibukkan dengan pembangunan fizikal dan materi sebuah negara “modern”.

Malahan produk-produk ini berjuang mati-matian untuk mempertahankan sistem atau so-called-perancang-yang adil-dan-menjamin-keamanan-negara-serta-masa-depan.

“It’s easier to fool people than to convince them they have been fooled.”

Tetapi ketahuilah disebalik sistem yang menekan dan menindas ini jugalah menyebabkan terdapat arus baru yang turut mengalir dan bergerak laju.Ianya adalah suatu gerakan bawah tanah yang rata-ratanya dipimpin dan digerakkan oleh anak-anak muda dan mahasiswa yang melihat kepincangan dalam sistem tersebut.

Mereka ini adalah golongan yang bergiat aktif dalam bidang seni, budaya, muzik, teater dan wacana.
Malangnya hasil atau kerja-kerja mereka ini terpinggir oleh arus media perdana. Atau lebih tepat lagi, golongan ini dilabel sebagai “kaki lepak” dan wajar dipantau atau disisihkan dari arus perdana. Dalam bidang politik kepartian pula, tidak kira di pihak kerajaan mahupun pembangkang, mereka tidak mendapat tempat.

Di mata golongan muda ini, pemimpin-pemimpin dalam parti politik ini hanyalah individu yang mementingkan kuasa dan pengaruh semata. Menjadikan agama, kaum dan warna kulit sebagai proses “mengambil hati” atau “memancing undi” masyarakat setempat.

Sedangkan bagi golongan muda ini, proses pembangunan dan ketamadunan sebuah negara tidak sepatutnya dipisahkan dengan sempadan-sempadan sebegitu. Sementara di mata parti politik kepartian ini pula, golongan muda ini dianggap sebagai ramuan hanya digunakan apabila perlu sahaja.

Hakikatnya, mahasiswa dan golongan muda inilah, yang so-called-defect-oleh-sistem, yang akan sedar dan memikul tanggungjawab yang lebih besar yakni untuk mengubah sistem berkenaan.

Mereka inilah yang menjadi sinar harapan masyarakat yang akan mencerahkan kembali kegelapan kepincangan tersebut dan juga lilin sebuah revolusi sistem yang baru dan lebih baik dari sedia ada.

Sejarah membuktikan segalanya. Bagaimana sistem kediktatoran pemerintah di zaman Jen Suharto contohnya digulingkan oleh mahasiswa dan anak muda. Jatuhnya sistem tirani sewaktu pemerintahan Husni Mobarak dan revolusi-revolusi eropah yang lain.

Tetapi ingatlah bahawa mahasiswa dan golongan ini mestilah dipimpin dengan panduan fikrah yang jelas dan menyeluruh serta bebas dari sebarang tali yang mengikat. Kerana jika mereka terikat atau diikat dengan mana-mana tali maka kitaran sisterm tersebut akan berulang sekali lagi.

Diharapkan sistem yang lebih baik untuk lahir tetapi akhirnya hanya sekadar sebuah revolusi sistem yang lebih kurang sama; menindas dan mengongkong.

Teringat kembali sebuah wacana ilmu yang pernah dianjurkan oleh Sinar Harian tempoh hari yang menjemput Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus sebagai salah seorang panel wacana tersebut.

Beliau ada menyebut. “Pemuda dan Mahasiswa mestilah baik dan bebas.”

Bebas dalam konteks yang saya cuba sampaikan adalah bebas dari sebarang pengaruh luar yang cuba didoktrinkan oleh sebarang pihak.

Kerana mereka inilah yang bertanggungjawab untuk membina sebuah masa depan negara. Dan kita mesti ingat bahawa pendidikan atau sistem perancangan yang dilaksanakan sekarang tidak semestinya sesuai dengan dua puluh-tiga puluh tahun akan datang.

Cabaran yang akan dihadapi oleh pimpinan akan datang tidak sama seperti sekarang. Jadi, kita mengharapkan golongan-golongan anak muda dan mahasiswa yang bakal memimpin negara nanti akan memimpinnya ke arah yang lebih baik dan tidak menggulangi kesilapan dan kelemahan yang dilakukan oleh kita kepimpinan sekarang.

Jadi, bagi menghasilkan mahasiswa yang baik dan bebas, ruang-ruang kebebasan mestilah diberikan kepada mereka.

Mahasiswa dan anak muda sepatutnya diberikan peluang untuk berbicara soal kelemahan masyarakat dan negaranya. Dan golongan kepimpinan sekarang, tidak kira diperingkat kampung, daerah, khususnya universiti dan negara, mestilah rela untuk memberikan jawapan-jawapan kepada mahasiswa dan anak muda tersebut tanpa perlu berselindung dan rendah diri.

Perasaan rendah diri tidak seharusnya menjadi alasan kenapa kita bimbang untuk membincangkan kelemahan-kelemahan dalam perjalanan pembangunan bangsa dan tamadun negara.

Hal ini kerana, sikap kritiklah yang akan membangunkan masyarakat kita untuk masa akan datang.

Memang tidak salah sama sekali untuk kita berbangga dengan kegemilangan dan kemajuan masa lampau. Malahan ianya menjadi suatu keharusan untuk kita mengagungkan kekuatan-kekuatan masyarakat dan negara kita sebagai bagian dari mata rantai umat manusia sejagat.

Tetapi untuk sesebuah tamadun atau negara itu terus “survive” dan mencapai tingkat keagungan ianya perlu dirintis dengan proses pembaharuan, reformasi dan tajdid yang berterusan. Dan ini hanya mungkin berlaku dengan wujudnya perbincangan-perbincangan, analisis kritikan dan seumpamanya.

Kerana dengan cara inilah generasi baru yang akan menjadi pelapis pimpinan negara untuk masa hadapan dapat belajar dari kesilapan sekarang, seterusnya tidak mengulanginya lagi sewaktu zaman mereka kelak agar proses pembangunan bangsa dan negara dapat dilakukan dengan lebih baik dan jitu dari masa sekarang.

* Muhammad Ameruddin Che Ibrahim adalah pelajar UTM Skudai dan juga salah seorang penggerak dalam Buku Jalanan UTM.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.