Ahad, 1 Februari 2015

MB Kelantan minta Guan Eng jaga mulut

FREE MALAYSIA TODAY

Tuduhan Ketua Menteri Pulau Pinang amat berat. Dia hanya melihat. Melihat dan memikul ini berbeza.


Datuk-Ahmad-YakobKOTA BHARU: Kerajaan Kelantan mengecam tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang mengeluarkan kenyataan berbaur penghinaan apabila menggambarkan negeri ini seperti tiada kerajaan ketika bencana banjir besar baru-baru ini.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob menegaskan, tuduhan itu cukup berat dan tidak betul memandangkan kerajaan negeri telah memikul tanggungjawab yang sewajarnya ketika berdepan bencana terburuk dalam sejarah itu.

Menurut laporan Utusan, Ahmad menjelaskan sebagai rakan dalam pakatan pembangkang, Guan Eng tidak sepatutnya mengeluarkan tuduhan seperti itu dan sebaliknya perlu menghulurkan bantuan.

Beliau menyifatkan tuduhan Setiausaha Agung DAP itu amat berat kerana, “Kita yang memikul segala kerja sebagai kerajaan ketika berhadapan bencana ini. Dia hanya melihat. Melihat dan memikul ini berbeza.”

“Dia hanya pelawat yang datang ke Kelantan hanya sehari, kita ini pemikul yang memikul tanggungjawab itu. Banjir kali ini luar biasa sememangnya pada peringkat awal kita gagal tangani 100 peratus terutama di kawasan seperti Kuala Krai.

“Jadi kalau itu menyebabkan seolah-olah kerajaan tidak buat kerja, ambo (saya) rasa tidak betul lah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar Kolej Teknologi Darulnaim (KTD).

Guan Eng dalam laporan akhbar Sin Chew Daily dilapor menggambarkan Kelantan seperti tiada kerajaan termasuk menuduh kerajaan negeri tidak membuat kerja sewaktu bencana banjir.

Sementara itu, Ahmad yang juga Pemangku Ketua Dewan Ulama PAS memberi peringatan tegas kepada Guan Eng supaya ‘menjaga mulut’ dan berhenti menyerang kepemimpinan parti itu.

“Saya tidak tahu apa tujuan dan matlamat dia (Guan Eng). Itu terpulanglah, pada kita, kita akan meneruskan perjuangan dengan pendekatan kita,’’ katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai penubuhan Gerakan Impian Kelantan (GIK) yang dijangka dilancar malam ini, Ahmad berkata, setakat ini beliau masih belum menerima sebarang makluman rasmi mengenainya.

GIK digerakkan oleh pemimpin PAS yang dilihat pro-Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan kerjasama DAP.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.