Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah (dua, kiri), berkenan meninjau Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Lembah Bertam, di Cameron Highlands hari ini. Turut hadir Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob. - Foto Bernama Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah (dua, kiri), berkenan meninjau Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Lembah Bertam, di Cameron Highlands hari ini. Turut hadir Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob. - Foto Bernama
 
 
CAMERON HIGHLANDS - Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah menzahirkan rasa tidak puas hati baginda dengan tindakan pihak berkaitan dalam menangani usaha pemulihan banjir lumpur di Lembah Bertam baru-baru ini.

Baginda menyifatkan tindakan yang diambil sebagai tidak efisien dan tidak lancar seperti yang diharapkan.

"Cameron Highlands adalah sebuah pusat peranginan yang unggul. Jadi adalah penting untuk kita mengekalkan kecantikannya," titah baginda semasa sesi taklimat agensi kerajaan berkaitan projek tebatan banjir Lembah Bertam, di Pusat Gerakan Rela dan Bomba Sukareka Lembah Bertam di sini hari ini.

Sultan Ahmad Shah bertitah semua agensi perlu bekerjasama dalam menghadapi krisis atau bencana seperti banjir.

"Saya ingin memaklumkan kepada rakyat Pahang bahawa kerajaan sentiasa mengambil berat tentang kebajikan mereka kerana kita semua sentiasa bekerja sebagai satu pasukan.

"Jadi saya harap pihak yang berkenaan akan mengambil tindakan yang sewajarnya," titah baginda. - Bernama