SHAH ALAM: Naib Presiden PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin mengingatkan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar menyegerakan siasatan
ke atas beberapa kes yang berkali-kali dilapor pakatan pembangkang.
"Pertama sekali ialah siri-siri laporan melibatkan mantan Menteri
Kewangan iaitu Tun Daim Zainuddin. Tidak kurang daripada tiga laporan
telah dibuat pada awal tahun 2014 dan gesaan agar tindakan lanjut SPRM
diambil juga telah dibuat berkali-kali.
"Atas justifikasi yang kukuh melalui perincian maklumat di dalam
laporan yang telah dikemukakan, seakan-akan dibakulsampahkan oleh SPRM.
"Sejujurnya tindakan SPRM ini nyata sekali mendukacitakan dalam keadaan
Tun Daim langsung tidak diambil sebarang tindakan hatta dipanggil untuk
memberi keterangan lanjut," ujarnya menerusi kenyataan medianya,
sempena tahun baru 2015, hari ini.
Perkembangan itu hanya menerbitkan persoalan apakah SPRM mengamalkan
pendakwaan selektif sehingga menyebabkan banyak kes rasuah tertunggak
atau tidak diambil tindakan langsung, soal Shamsul.
Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul juga mahu SPRM menyiasat mengenai
perbelanjaan perkahwinan anak mantan Ketua Menteri Melaka iaitu Tan Sri
Mohd Ali Rustam yang dicanang-canang sebagai rekod kehadiran mencecah
130,000 tetamu.
"Pelbagai keraguan termasuklah notis mesyuarat persiapan majlis
tersebut yang melibatkan ketua-ketua agensi kerajaan Negeri Melaka dan
juga pengakuan oleh Tan Sri Mohd Ali sendiri yang majlis itu sekadar
menelan belanja RM600 ribu.
"Kedua-dua fakta ini jelas tidak munasabah dan telah dikemukakan ke
SPRM untuk tindakan lanjut, namun nyata sekali harapan tinggal harapan,"
kata Shamsul lagi.
Beliau berkata PKR dan Pakatan Rakyat menyokong penuh usaha
penambahbaikan dan pemerkasaan SPRM dalam menangani isu rasuah di negara
ini.
"Selamat Tahun Baru 2015 buat SPRM. Berkhidmatlah dengan Bebas,
laksanakan tugas dengan Telus, serta junjunglah amalan Profesional demi
negara yang tercinta," ujarnya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.