Sabtu, 31 Januari 2015

Shabery : Jangan Terlibat Sebotaj Ekonomi Negara

RAKYATNEWS


alt
 


GUA MUSANG  - Rakyat perlu peka dan tidak terlibat dengan pihak yang cuba mensabotaj ekonomi negara.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, mensabotaj ekonomi boleh berlaku di mana-mana negara, namun yang penting rakyat perlu mempunyai ketahanan untuk tidak merusuh dan mengambil kesempatan terhadap perbuatan berkenaan.

"Mensabotaj ekonomi sesebuah negara, boleh berlaku dari semasa ke semasa. Bagi menguji kekuatan sesebuah negara itu bukan sahaja dari segi ketenteraannya, dari segi bagaimana mereka mempertahankan keselamatan, malah untuk mewujudkan suatu sistem dengan rakyatnya mempunyai ketahanan untuk tidak merusuh, tidak mengambil kesempatan, adalah aspek yang perlu kita beri penekanan," katanya kepada pemberita selepas Program Sentuhan Kasih beliau bersama mangsa banjir di Kampung Bertam Baru di sini, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengarahkan agensi kerajaan yang berkaitan supaya mengambil tindakan terhadap dakwaan mengenai kegiatan individu tertentu mensabotaj ekonomi negara.

Ahmad Shabery berkata, ada sesetengah negara apabila berlaku sedikit sahaja ancaman dari segi ekonominya, rakyat negara itu keluar ke jalan raya dan memburukkan lagi keadaan.

"Tetapi dalam soal ini, kita dilihat lebih bersatu kecuali mereka yang sememangnya mahu merasakan kalau negara kita diserang, mata wang akan jatuh, harga barang akan jadi mahal atau barang tidak mencukupi.

"Ini berlaku di Venezuela, di mana negara itu yang dahulunya sebagai pengeluar minyak. Semua orang nakkan minyak kita murah seperti Venezuela, namun mereka tidak ada simpanan lain.

"Ekonomi mereka tidak dipelbagaikan sehingga bergantung sepenuhnya ke atas minyak dan apabila harga minyak terlalu rendah, mereka tidak boleh menggunakan wang untuk membeli barang dari luar sehingga menyebabkan ekonomi terancam," katanya.

Beliau berkata, rakyat Malaysia perlu terus berwaspada terhadap pihak yang cuba mensabotaj ekonomi negara memandangkan mata wang negara ini pernah disabotaj sebelum ini.

Sementara itu, Ahmad Shabery berkata bencana banjir yang melanda beberapa negeri bulan lepas menunjukkan tingginya semangat sukarelawan rakyat Malaysia.

Beliau berkata, pelbagai pihak, termasuk individu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), tampil menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir.

Pada majlis itu, Ahmad Shabery yang juga Ahli Parlimen Kemaman, menyampaikan sumbangan bekalan makanan, selimut dan barangan elektrik, termasuk daripada Parlimen Kemaman, Wanita UMNO Bahagian Kemaman, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), syarikat swasta dan NGO.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.