THE MALAYSIAN INSIDER
Anggota
Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC P. Kamalanathan yakin Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin
mampu mengatasi kemelut dalaman MIC yang melanda parti itu secepat
mungkin.
Beliau yang juga timbalan menteri pendidikan kedua menyatakan rasa
gembira dan setuju apabila kedua-dua pemimpin tertinggi Barisan Nasional
(BN) itu akan mengadakan pertemuan dengan Presiden MIC Datuk Seri G.
Palanivel dan timbalannya Datuk Seri Dr S. Subramaniam dalam usaha
menyelesaikan krisis parti itu.
"Saya tidak akan komen apa-apa lagi...sebagai anggota parti saya
mengharapkan yang terbaik. Saya pasti selepas pertemuan itu kita dapat
menyelesaikan masalah ini sekali gus dapat mengukuhkan semula parti,"
katanya selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil
Klebang, Chemor di Ipoh, hari ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas
kenyataan perdana menteri semalam yang akan mencari formula terbaik
dalam usaha menyelesaikan kemelut MIC.
Perdana menteri yang juga pengerusi BN juga meminta pemimpin parti di
semua peringkat termasuk Jawatankuasa Ketua Bahagian, Pemuda, Wanita,
Putera dan Puteri MIC mengadakan moratorium untuk menangani krisis yang
berlarutan.
Kemelut MIC bermula pada 5 Disember lepas apabila Pendaftar Pertubuhan
(RoS) mengarahkan parti itu mengadakan pemilihan semula bagi tiga
jawatan naib presiden dan 23 jawatan anggota CWC dalam tempoh 90 hari.
Ia berikutan aduan mengenai penyalahgunaan kuasa dan perbuatan salah
laku yang melanggar perlembagaan parti dan Akta Pertubuhan pada
pemilihan Perhimpunan Agung MIC di Melaka pada November 2013.
RoS turut menasihatkan MIC supaya tidak mengadakan perhimpunan agung tahunan sehingga isu itu diselesaikan. – Bernama,
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.